Manusia mempunyai pelbagai tabiat yang tersembunyi. Tabiat ini sukar untuk difahami tanpa melihat perlakuannya selepas memperolehi sesuatu.
Sebahagian manusia, akan terus kekal di mana dia 'berdiri' walau cabaran dan dugaan datang bersilih ganti. Manusia begini adalah manusia yang tidak terpengaruh oleh apa-apa godaan harta benda mahu pun ideologi. Andai dikiaskan, manusia begini umpama ikan di laut. Masin bagaimanapun air laut itu, dagingnya tetap tawar. Alangkah bertuahnya negara yang memiliki rakyat sebaik ini. Jika dia seorang anggota keselamatan, dia tidak akan terpengaruh oleh rasuah. Jika dia diberi amanah, dia amanah dan setia.
Di sebaliknya, ada juga sifat manusia yang tersembunyi ini akan nyata selepas melalui godaan dunia. Diam dan lembutnya sebelum mendapat yang 'diintai-intai', pijak semut tak mati. Bagaimanapun, selepas mendapat atau melihat sesuatu yang akan menguntungkannya, sifat tersembunyi itu akan mula terserlah sedikit demi sedikit. Sifat tersembunyi yang ingin diperkatakan di sini ialah sifat tamak haloba.
Sifat tamak haloba ini biasanya ada pada manusia yang suka berpura-pura. Sukar untuk dipercayai. Pentingkan diri sendiri. Tidak amanah dan tidak setia pada kawan-kawan seperjuangan. Lain di lidah lain di hati. Akan cepat berusaha, walau dengan apa cara sekali pun, menyisihkan kawan-kawannya yang tidak sekepala dengannya --> Kepala Haloba! Manusia ini akan buat apa sahaja demi untuk cita-citanya. Kebiasaannya akan menutup telinganya terhadap apa-apa teguran orang lain mengenai perbuatan tidak betul yang dilakukannya.
Sifat tamak haloba pada diri manusia begini biasanya juga cuba disembunyikan dengan satu perbuatan yang kononnya dia membantu orang-orang susah. Bagaimanapun, ia kerap merujuk kepada pihak dirinya juga. Dia suka mengangkat dirinya sendiri menjadi pemimpin. Dia suka disanjung-sanjung dan sebab itu manusia seperti ini akan selalunya melantik dirinya sebagai orang yang mempunyai kuasa. Dia tamak kuasa. Sifat haloba ini menguasainya hingga dia tidak melihat dia semakin tersisih dari kelompok orang-orang yang berhati jujur. Oleh itu, dia akan bersama-sama orang yang mempunyai sifat tersembunyi sepertinya juga.
Tingkahlaku buruk yang lebih ketara selepas harta berada di matanya - bila bersama, dia akan menyembunyikan berita harta itu seboleh-bolehnya. Dia tidak mahu kawan-kawannya mahu pun orang lain mengetahuinya dengan jelas. Dan kalau boleh, biar samapai orang lain tidak tahu langsung. alam diamnya dia rakus. Dalam rakusnya dia sempat bermadha pujangga walau pun madahnya janggal tidak bernada.
Manusia...manusia....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan