Benarkah UMNO akan tumbang di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia? Dan akan berlakukah lagi, tiga negeri penyumbang kemenangan UMNO di Malaysia - Pahang, Sarawak dan Sabah akan terus bertahan sebagaimana bertahannya Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Crooker?
Jika benarlah khayalan sebilangan pemimpin yang membangkang kesatuan pelbagai parti dalam Barisan Nasional untuk terus menerajui pemerintahan negara ini akan terbukti, apakah akan terjadi kepada negara yang dipimpin oleh tiga perikatan parti yang berbeza ideologinya?
Adakah benar pemimpin dari parti Keadilan akan menjadi Perdana Menteri sekiranya parti pembangkang memenangi pilihanraya umum kali ini? Ataukah parti Keadilan hanya akan menjadi kambing hitam kepada dua parti pembangkang yang besar dan kemudian dijadikan pula sebagai batu loncatan untuk satu cita-cita lama yang tersembunyi - menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Siapa pun boleh berkata bahawa 'Kita Memiliki Satu Perjuangan Yang Sama' tetapi adakah parti yang memiliki kerusi terbanyak dapat menerima dan terus akur bahawa parti yang paling lemah menjadi peneraju pemerintah? Tentu saja akan timbul persoalan 'di mana demokrasi yang sebenar?' Demokrasi sebenar adalah parti yang memiliki kerusi terbanyaklah yang menjadi peneraju. Jika tidak, pelbagai masalah akan wujud, antaranya adalah undi tidak percaya di dalam dewan atau parlimen.
Jika benar pun, dari parti terkecil pun boleh dilantik Ketua Menteri tapi ini isu Ketua Menteri bukan isu Perdana Menteri. Jika isu penggiliran Ketua Menteri pun sudah tidak 'terpakai' apatah lagi andainya berlaku kepada jawatan Perdana Menteri. Mungkin juga alasan pelbagai parti dalam Brisan Nasional dijadikan contoh terdekat kepada cara meyakinkan rakyat bahawa parti perikatan pembangkang juga boleh menjadi pemerintah yang baik. Pandangan ini, jika dilihat dari sudut luaran tentu saja jawapannya YA.
Namun, benarkah perpaduan itu akan wujud dalam parti 'pemerintah itu' kelak? Benarkah kesepakatan itu dapat menyamai kesepekatan parti dalam Barisan Nasional yang telah dipupuk sejak awal perjuangan kemerdekaan lagi? Ia masih menjadi satu tanggapan yang berbentuk bayang-bayang. Jika siang, nampak seolah-olah jelas namun bila malam akan hilang, lenyap ditelan kegelapan yang penuh tanda tanya.
Apa pun, demokrasi memberikan peluang kepada rakyat memilih siapa yang mereka kehendaki dan percaya untuk menerajui pemerintahan negara. Dalam negara demokrasi, kerajaan dipilih oleh rakyat. Malah, seorang petani sekali pun boleh berkata bahawa dialah yang memilih kerajaan. Namun, paling penting - bertuahkah kita selepas memilih satu parti pemerintah yang baru atau akan menangiskah kita untuk satu tempoh paling kurang 60 bulan berikutnya - KITALAH PENENTUNYA.