Perkara 1: Agama
Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan
Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo
Utara, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam
Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.
Perkara 2: Bahasa
- Bahasa
Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan
- Penggunaan
Bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas Hari Malaysia
- Bahasa
Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua
tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.
Perkara 3: Perlembagaan
Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk
membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagan Malaysia seharusnya
dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu
susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui
oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali.
Sebuah perlembagaan baru untuk Borneo Utara sewajarnya amat diperlukan.
Perkara 4: Ketua Persekutuan
Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih
sebagai Ketua Persekutuan.
Perkara 5: Nama Persekutuan
"Malaysia" bukan "Melayu Raya".
Perkara 6: Imigresen
Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia
seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke
Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.
Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukkan
sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan
negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja. Borneo Utara seharusnya
mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang
bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di
Borneo Utara.
Perkara 7: Hak Menarik Diri
Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak
ada.
Perkara 8: Borneonisasi
Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam
negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.
Perkara 9: Pegawai-pegawai British
Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish
untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat
mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.
Perkara 10: Kewarganegaraan
Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam
Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara
di dalam Persekutuan :
- Perenggan
kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama 5
tahun
- Untuk
diselaraskan dengan undang-undang kami, perenggan kecil (II) sepatutnya
menyatakan "7 daripada 10 tahun" dan bukan "8 daripada 10
tahun"
- Perenggan
kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan
ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia
semestinya menjadi warganegara persekutuan.
Perkara 11: Cukai dan kewangan
Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung
pembangunan, dan cukai sendiri.
Perkara 12: Kedudukan khas bangsa
asli/bumiputera Borneo Utara
Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan
seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang
dipraktikkan di Malaya tidak semestinya digunapakai oleh Borneo Utara.
Perkara 13: Kerajaan Negeri
Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis
Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang
sesuai.
Perkara 14: Jangkamasa Peralihan
Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti
diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut perlembagaan dan tidak
dipengaruhi oleh kerajaan persekutuan.
Perkara 15: Pelajaran
Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan
dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.
Perkara 16: Perlindungan kepada
Perlembagaan
Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan
oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada
Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. Kuasa ini adalah hak
mutlak penduduk negeri ini.
Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen
Persekutuan
Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo
Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara
ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.
Perkara 18: Nama Ketua Negeri
Yang Di Pertua Negara.
Perkara 19: Nama Negeri
Sabah.
Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan
tempatan dan lain-lain
Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah
Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara. Seperti itu juga, Majlis
Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara.