Powered By Blogger

KEPADA GURU : KALAU TIDAK MAHU DILAMBUNG OMBAK, JANGANLAH MEMBUAT RUMAH DI TEPI PANTAI.

Sejak akhir-akhir ini, kita terbaca berbagai bentuk rungutan daripada pihak guru. Bentuk kerja dan bebanan kerja menjadi isu utama. Keadaan sudah terbalik! Kalau dulu, guru yang merungut adalah guru-guru di pedalaman. Kehidupan yang susah dan serba-serbi kekurangan diwar-warkan minta simpati daripada kementerian pelajaran atau pun Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing. Persoalannya sekarang ialah, mengapa rungutan guru yang kita baca banyak datang daripada guru bukan di pedalaman lagi? Mungkinkah guru di pedalaman sudah tertutup mulut oleh elaun khas yang diterima menjadikan mereka tidak lagi berminat untuk merungut atau adakah guru bukan bertugas di pedalaman sememangnya terlalu dibebani kerja?

Apa yang menyedihkan, kebanyakan rungutan guru yang kerap kita baca adalah kerana tugasan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan perlu pula dilaksanakan secara online. Mungkin ada asasnya guru-guru ini merungut kerana server sering 'tersangkut' atau 'tiba-tiba saja mati' ketika kerja berada di pertengahan atau di penghujung; Dan akibatnya, guru terpaksa melakukannya semula dari awal.

Bagaimanapun, sekiranya guru merungut atas sebab (yang dikatakan) terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian yang banyak sedangkan mereka juga dibebani oleh tanggungjawab mendidik pelajar yang tak ada penghujungnya - mungkin ia suatu tindakan yang tidak praktikal. Guru seharusnya juga mengetahui setiap jenis kerja yang dikategorikan sebagai kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran selain daripada kerja mengajar dan semua jenis kerja yang melibatkan pelajar.

Rasionalnya ialah pada suatu ketika, apabila rezeki sudah sampai, guru tersebut juga akan memikul tugas sebagai pentadbir sesebuah sekolah. Jadi, semua jenis kerja itu adalah di bawah pantauannya. Pada ketika itu, tindakan untuk 'baru mempelajari kesemua kerja-kerja perkeranian' bolehlah dianggap kurang bijak kerana hal itu sudah tentu akan melambatkan atau mencacatkan proses pengurusan dan pentadbiran sekolah tersebut.

Sebagai seorang guru biasa, mempelajari semua perkara yang sememangnya wujud di sekolah adalah lebih baik daripada terus merungut. Tambahan lagi, suatu ketika guru juga inginkan kenaikan pangkat. Tanpa pengetahuan tersebut, sukarlah Guru Besar atau Pengetua mencalonkannya untuk memegang tanggungjawab sebagai Penolong Kanan atau pun dilantik pula sebagai Guru Besar atau Pengetua di sekolah. Andai rezeki tidak menyebelahi, apalah salahnya kita mempelajarinya dengan tujuan menambah ilmu pengetahuan.

Merungut tidak akan memberikan apa-apa faedah melainkan hanya akan mewujudkan hubungan yang tegang di antara guru biasa dengan pentadbir sekolah. Dalam masa yang sama, sudah pasti dalam hati guru akan ada tanda-tanda kurang memberikan kerjasama terhadap organisasi di sekolah. Jika ini berlaku, adalah sukar untuk organisasi tersebut mencapai misi dan visinya.

Sebagai seorang guru, saya mencadangkan agar guru-guru yang kerap merungut ini selalulah bersabar terhadap masalah yang dihadapi. Jadikanlah kerja-kerja yang diamanahkan sebagai amalan dan ibadah. Insya-Allah, dengan cara ini setiap masalah itu akan berubah menjadi 'perangsang' kepada guru berkenaan untuk terus bekerja dengan lebih bermotivasi.

KALAU TIDAK MAHU DILAMBUNG OMBAK, JANGANLAH MEMBUAT RUMAH DI TEPI PANTAI. Kita harus menyedari bahawa tugas guru akan terus mencabar dari tahun ke tahun sesuai dengan kehendak semasa. Tunjukkanlah tahap profesional kita sebagai kakitangan yang tergolong dalam KUMPULAN PROFESIONAL.

Sekian. Selamat bertugas sebagai guru dan Selamat Berpuasa (kepada yang berpuasa).