Powered By Blogger

UMNO BOLEH TUMBANG?

“UMNO boleh tumbang tetapi bukan oleh parti pembangkang PKR mahu pun DAP atau PAS. Bukan juga oleh perikatan pembangkang ini. UMNO akan tumbang di Sabah oleh parti yang berasal dari negeri Sabah juga.” Penutur berbicara yakin.
   Penutur berkeyakinan berdasarkan sejarah pemerintahan parti-parti politik Sabah sejak awal merdeka melalui Malaysia. Mana-mana parti politik Sabah, yang pada zaman pemerintahannya melangkau dua penggal dan selepas itu pula mula menerima sokongan daripada gabungan barisan nasional pasti akan tumbang apabila pilihanraya diadakan. Senario ini sudah sinonim di Sabah.
   Seingat penutur, USNO tumbang kepada BERJAYA selepas begitu kuatnya sokongan dari pihak ‘Kuala Lumpur’. Demikian juga terhadap nasib BERJAYA. Sokongan yang amat kuat ketika sebelum pilihanraya pada tahun 1985 hingga bagaikan parti lain tidak mampu menggugat sedikit pun kemampuan BERJAYA. Akhirnya nasib yang menimpa BERJAYA juga seperti USNO, tewas kepada PBS.
   Nasib PBS juga serupa selepas parti itu bergabung dalam Barisan Nasional. Tumbang kepada UMNO Sabah. UMNO baru dalam proses menghabiskan penggal pemerintahan negeri. Penggiliran Ketua Menteri Sabah tidak dapat dianggap pemerintahan satu parti kerana ketua menteri yang dipilih hanya mewakili partinya yang cuma menang dua atau tiga kerusi DUN Sabah ketika itu. Bukan daripada parti yang menang majority dalam pilihanraya negeri.
   Biasanya, rakyat Sabah akan berasa cepat muak terhadap pendekatan dan cara pemerintahan parti yang memerintah.  Paling kuat adalah selama dua penggal. Lepas itu, parti baru akan memerintah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah di Sabah, parti yang pernah memerintah akan memerintah semula selepas partinya tumbang pada pilihanraya. Ada yang kekal wujud tapi tidak mampu memerintah dan ada antaranya terus berkubur. Tidak muncul-muncul lagi.
   Oleh itu, penutur yakin bahawa akan ada satu parti baru yang akan muncul di Sabah yang memiliki ciri-ciri parti USNO  + PBS. Tapi bukan USNO dan bukan juga PBS. Parti politik itu menggunapakai pendekatan yang pelbagai dan pasti kelihatan lebih advance. Dianggotai oleh pemimpin muda yang educated dan mengamalkan cara hidup sederhana tetapi memiliki hubungan baik dengan masyarakat.  Jumlah pemimpin parti ini adalah seimbang dan mewakili setiap kaum di Sabah.
   Kemunculan parti baru ini mulanya memperjuangkan keadilan yang perlu diterima oleh penduduk Sabah sebagai rakyat Malaysia. Antara keadilan yang dituntut adalah mengenai pemberian elaun perumahan di kalangan kakitangan pendidikan atau guru-guru yang dilihat tidak memenuhi tuntutan keadilan terhadap guru-guru yang berasal dari Sabah.  Misalnya, elaun perumahan guru-guru DG29 yang berasal dari SM atau SWK, apabila bertugas di Sabah jauh lebih tinggi daripada elaun rumah guru-guru DG41 yang berasal dari Sabah.
“Perjuangan 1 Malaysia perlu menepati tuntutan ini juga,” katanya.
   Kesukaran anak-anak bumiputera Sabah untuk memasuki pusat-pusat pengajian tinggi yang ada di negeri Sabah sendiri pasti akan diperjuangkan oleh parti yagn dimaksudkan oleh penulis. Perjuangan ini tentunya akan menjadikan nama parti baru ini sentiasa di bibir mulut setiap lapisan masyarakat bumiputera Sabah. Optimisnya penutur terhadap kejayaan ini adalah kerana pastinya tidak akan ada ibu bapa, khususnya yang  kurang berada untuk tidak akan bersetuju terhadap menifestasi parti baru itu.
   Semangat perjuangan parti di negeri Sarawak akan dijadikan contoh paling dekat . Kekuatan parti di negeri jiran mengukuhkan kesepakatan ahli dan pemimpin di dalam parti baru ini. Mereka tidak perlukan UMNO di sana namun mereka tetap maju dan memerintah. Sementara itu, perbandingan terhadap penerimaan rakyat terhadap parti UMNO di SM sudah tentu akan dimanipulasi dengan sebaik-baiknya  dalam usaha parti baru ini merai sokongan penyokongnya.
   Golongan pemimpin muda baru itu tidak sendirian. Di belakang mereka ada pemimpin-pemimpin yang dihormati oleh setiap masyarakat di Sabah. Malah ada juga di antaranya bergelar Datuk dan Datin. Tidak keterlaluan jika penulis mengatakan sudah pastilah bersama mereka itu beberapa orang pemimpin yang ada sekarang. Pemimpin yang mula memikirkan tentang perlunya diwujudkan satu parti local Sabah untuk memimpin Sabah. Tidak mahu terikat oleh pihak KL untuk memutuskan siapakah Ketua Menteri Sabah. Yang di dadanya yakin bahawa rakyat Sabah harus memutuskan sendiri siapa Ketua Menteri mereka.
   Hiraki pentadbiran kerajaan masa kini, khususnya di pihak paling bawah iaitu JKKK dikatakan antara punca sokongan rakyat biasa atau masyarakat di kampung-kampung semakin sukar diduga. Tambahan elaun yang diberi tidak menampakkan perubahan tindakan di pihak JKKK ke corak lebih ‘maju’ melainkan seperti sebelumnya juga. Masalah dalaman di kampung diwakili kurang diambil perhatian. Sebahagian besar di antara mereka pula ‘sangat segan bersuara’ untuk menyuarakan kepentingan masyarakat di kampung. Bimbang akan menimbulkan masalah kepada pemimpin di kawasan mereka atau permintaan itu menggores perasaan pemimpin mereka.
   Rakyat generasi kedua negeri ini mahukan satu perubahan kepada corak kemajuan yang lebih cepat dan berkesan. Pemimpin muda parti baru yang akan muncul itu pastinya dapat membawa perhatian, pandangan dan hasrat setiap rakyat Sabah kepada perkara yang mereka inginkan. Dapat memperlihatkan kelemahan pentadbiran yang perlu diperbaiki atau ditukar. Mampu menghidupkan semangat untuk bersatu demi satu perubahan dan masa depan melalui kesepakatan berganti pemimpin baru di setiap penggal apabila graf prestasi pemimpin tidak menunjukkan peningkatan. Tiada sikap monopoli peluang menjadi pemimpin oleh mana-mana pemimpin di kalangan mereka.
   Bagaimanapun penutur juga percaya bahawa adalah terlalu sukar untuk parti baru itu untuk tumbuh bercambah dan bertunjang kukuh sekiranya berlaku satu perubahan pandangan di pihak UMNO bahawa UMNO Sabah tidak harus menuruti ketetapan siapa harus menjadi Ketua Menteri di Sabah. Dalam erti kata yang lain, biarkan rakyat Sabah memilih siapa Ketua Menteri mereka. Memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa UMNO Sabah bukan cawangan UMNO dari SM tetapi adalah satu parti bumiputera negeri Sabah semata-mata.  
Jika ini berlaku dan rakyat dapat menerimanya dengan baik, kami pasti akan menghadapi masalah.” Demikian pendapat salah seorang daripada mereka yang penulis maksudkan mengakhiri pertemuan kali ini.
##Penulis bukan membuat ulasan politik. Ini cuma catatan hasil perbincangan penulis dengan penutur asal.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

UMNO masih releven untuk menjadi parti pilihan rakyat Malaysia. Usia bukan penentunya. Tetapi siapa yang mengendalikannya.

UMNO bukanlah sebuah Parti yang kuat, hanya mempunyai keahlian kurang lebih 3 juta ahli sahaja berbanding rakyat Malaysia. Tetapi sikap persaudaraan dan berkongsi kuasa itu penentu kekuatan UMNO.

Dengan persefahaman ini, UMNO akan terus menerajui pemerintah dalam Komponen BN. Dan UMNO harus menjadi sebuah parti yang memenuhi inspirasi semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Konsep 1 Malaysia memenuhi citarasa kehidupan rakyat Malaysia.

Di Sabah. UMNO lebih mudah berkembang dan menjadi sebuah Parti yang semangkin kukuh berikutan Amalan ciri-ciri kehidupan dengan Konsep 1 Malaysia sangat sesuai.Dan perkataan MELAYU dalam UMNO bukan lagi satu penghalang. Ini terbukti dengan pembentukan cawangan-cawangan UMNO dan pendaftaran keahlian dari berbagai kaum kaum yang ada di Negeri Sabah.

Unknown berkata...

Masalah yang harus difikirkan adalah dimanakah 'pemikiran' rakyat. Apakah caranya hati rakyat terus terpaut.

Saya yakin, jika anak kunci kepada perkara ini ditemui, UMNO pasti akan terus menerajui pemerintahan.