Beberapa bulan yang lalu, rakyat Malaysia dikejutkan oleh satu berita pembunuhan kejam ke atas seorang jutawan kosmetik. Kematian tragis yang menyayat hati, yang belum pernah berlaku dan di lakukan di Malaysia, di mana mangsa-mangsa yang dibunuh dibakar dan abu mereka dihanyutkan ke sungai.
Bukan calang-calang pemikiran orang yang melakukan pembunuhan ini. Dia tahu bagaimana dia harus berusaha untuk melepaskan diri atau terlepas daripada hukuman gantung sampai mati kerana membunuh dengan sengaja dan kejam. Orang tidak berpendidikan tidak akan melakukan kejahatan yang dirancang penuh teliti seperti ini.
Kematian bukan suatu yang luar biasa. Kematian adalah pasti bagi setiap makhluk yang bernyawa. Masalahnya di sini ialah pembunuh kejam ini adalah dipercayai dilakukan oleh orang-orang yang berpendidikan dan berpengetahuan dalam selok-belok undang-undang. Maknanya, mereka tahu undang-undang. Di mata masyarakat, mereka adalah pelaksana undang-undang dan yang sentiasa memberi contoh bahawa semua perkara mesti mematuhi dan mengikut undang-undang. Kredebiliti mereka adalah merujuk kepada pengamal undang-undang.
Pernah berlaku cetusan perasaan sebahagian ‘pengamal undang-undang’ di Malaysia yang menentang akan hukum hudud, tidak mahu pencuri dipotong tangan kerana perbuatannya. Kenapa mereka takut? Yang takut sepatutnya si pelaku jenayah yang bergelar pencuri dan perompak (dan peragut juga). Hukuman sedia ada yang tidak mengikut hukum hududlah yang menyebabkan mereka berani mencuri, merompak dan mengambil secara paksa harta milik orang. Berlakulah pecah rumah, membunuh, mengambil kesempatan memperkosa dan sebahagiannya dibunuh sebelum meninggalkan rumah yang dimasuki atau dirompak. Mengheret mangsa tanpa belas kasihan dan sebahagiannya terbunuh ketika diragut si peragut.
Pembunuhan berprofil tinggi di Malaysia bukan baru. Sudah banyak kali berlaku. Ada pemimpin yang dibunuh kemudian anggota badannya dipenggal-penggal menjadi beberapa bahagian sebelum ditanam oleh pembunuhnya. Sudah ada juga wanita yang disimbah petrol ketika tangannya diikat dan dibakar hingga rentung di sebuah terowong konkrit. Ada yang dibunuh dengan kejam dengan meletupkan anggota badan mangsa dengan bom peledak hingga tubuh mangsa berkecai sama sekali. Jenayah pembunuhan kejam terhadap pelajar wanita, penuntut wanita, pekerja wanita dan kanak-kanak perempuan. Demikian juga terhadap kaum lelaki. Nyawa mangsa seolah-olah tidak bernilai bagi si penjenayah.
Ironinya, mengapakah kerja membunuh ini masih terus berlaku dan bertambah dari setahun ke setahun? Gagalkan sistem perundangan yang diamalkan di negara ini? Mungkinkah juga sistem pendidikan kita masih belum mampu melahirkan insan yang seimbang atau memang guru atau pensyarah yang mengajar gagal dalam menyampaikan intipati pendidikan yang sebenar? Adakah system pendidikan yang dituntut oleh rakyat Malaysia di luar negara pula harus disalahkan kerana tidak sesuai dengan acuan falsafah pendidikan dan rukunegara Malaysia? Dan benarkah kejahatan ini berleluasa disebabkan kerana kita sendiri tidak mahu mematuhi hukum yang ditetapkan sendiri oleh Allah, Maha Pencipta dan Maha Mengetahui?
Ada suara-suara bisikan yang lahir dari sanubari rakyat Malaysia memperkatakan tentang kepincangan yang ada di dalam sistem pentadbiran negara. Mereka berkata penuh kecewa bahawa parti pemerintah dan parti pembangkang yang menduduki kerusi parlimen atau dewan rakyat yang ada, asyik dan terlalu kerap untuk mempersoalkan apa yang dilakukan oleh pihak lawan. Jarang kedengaran mereka bersatu untuk mencari satu pendekatan. Meluluskan akta hukuman berat terhadap pembunuh. Satu golongan pula asyik saja membuat kecoh selepas satu kekecohan yang dibuat telah mendapat liputan media. Hingga suatu ketika dahulu meminta pula kerajaan lain di luar negara memperjuangkan nasib mereka. Alasan mereka kerana memiliki warna kulit yang sama. Mereka lupa bahawa mereka rakyat Malaysia.
Melihat kekurangajaran mereka itu, seorang petani tua berkata “Saya sudah hidup sebagai petani berpuluh-puluh tahun. Jalan yang saya lalui becak berlumpur. Rumah saya tidak ada elektrik. Saya cuma minum air hujan atau air perigi. Walau hidup kami susah, kami tetap dapat makan kerana kami tanam padi, tanam sayur, jala ikan atau ternak ikan sendiri. Di rumah kami tidak ada tv. Tidak ada kusyen. Bagaimanapun, kami tetap besyukur.Bersyukur bukan lagi dijajah kuasa oleh asing. Kami puas kerana kami sudah bantu negara, membekalkan beras dan mengekalkan keharmonian negara. “Itu manusia tidak bagus!” Kata orang tua itu. Itu kata salah seorang yang pernah berjuang menentang penjajah dahulu.
Rumusannya, pemimpin-pemimpin yang dipilih rakyat seharusnya mencari alternativ lain untuk mengekang kegiatan jenayah berat ini. Pertambahan anggota pertahanan yang dipertanggungjawab mengawal ketenteraman awam perlulah diperbanyakkan. Mungkin perlu mereka ini tidak dikenali oleh orang awam dan sentiasa berada di setiap lokasi-lokasi strategik, di bandar, di pekan atau di kampung. Kelebihan teknologi haruslah dimanfaatkan sepenuhnya. Pemasangan kamera litar perlu diperbanyakkan. Hasil pembangunan sistem kawalan keselamatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan jenayah membunuh dengan niat dan kejam di negara ini malah akan memberi peluang pekerjaan pula kepada ramai rakyat Malaysia yang menganggur tetapi berpendidikan dan berkemahiran.
Sebagai rakyat biasa, penulis sangat berbangga apabila mendapat tau ada orang kenamaan negeri yang memberi pesan kepada anaknya supaya berpakaian biasa ketika bersama anak-anak bukan kenamaan agar mereka itu tidak terasa kesusahan mereka. Contoh ini adalah sangat baik. Setidak-tidaknya pemimpin sedar bahawa mereka itu diangkat oleh tangan rakyat biasa. Tangan orang tua yang kurang upaya, tangan orang miskin yang menderita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan