Kejayaan pemain Malaysia mengalahkan pemain hoki India di separuh akhir hoki Sukan Asia adalah suatu yang membanggakan rakyat Malaysia. Penampilan penuh bersemangat untuk merebut tempat di peringkat akhir sudah cukup menjadi hadiah yang amat berharga. Ketika itu, penyokong-penyokong Malaysia, yang belum mengenali siapakah mereka dalam pasukan hoki Malaysia mula memberikan tumpuan dan sokongan tidak berbelah bagi.
Bagaimanapun, ketika pemain hoki Malaysia tampil di peringkat akhir, penyokong-penyokong Malaysia terkejut dengan tsunami perubahan pada diri pemain. Pemain Malaysia sudah menjadi ‘orang lain’. Penyokong tercari-cari di manakah pemain sanjungan mereka sebelum ini. Pemain ‘sudah berubah’ . Berubah daripada penampilan yang ‘lasak’ bertukar menjadi penampilan kebudak-budakan dan bandit. Sudah tidak dikenali lagi.
Benarlah kata mantan Perdana Menteri Malaysia bahawa Melayu mudah lupa.
Pada pendapat penulis, penampilan itu adalah gambaran bahawa pemain sudah berasa cukup gah dengan pencapaian yang dicapai dan sudah pun meraikan kejayaan itu dengan menunjukkan kelainan yang dirasa luar biasa. Jadi tidak hairanlah jika kecemerlangan tidak ada lagi di peringkat akhir. Target pemain kita mungkin cukuplah sekadar menjadi pasukan yang dapat memberikan saingan sengit kepada setiap pemain. Oleh itu, kemenangan adalah menjadi perkara ‘bonus’ selepas target dicapai. Tidak ada lagi target luar biasa melainkan penampilan fesyen luar biasa yang terkejut dengan pencapaian di luar jangka.
Pemain mahu semua orang yang menyaksikan perlawanan itu melihat mereka memiliki pelbagai fesyen rambut baru. Yang berjambul, botak dan berjambul. Itulah yang mereka ingin perolehi dari semua penonton. Mereka telah pun mendapatnya. Hanya kita tidak tahu, adakah kemunculan pemain Malaysia di peringkat akhir itu mendapat sanjungan yang berterusan selepas menyaksikan ‘kegarangan’ mereka melapah mana-mana semangat lawan sebelum itu. Penulis berpendapat, keinginan paling kuat pemain Malaysia adalah inginkan dilihat sebagai ‘pemain yang memiliki penampilan unik pada fizikal’ sebaik sahaja keluar ke padang.
Penulis juga percaya bahawa sebelum itu pemain-pemain sudah syok merayakan kejayaan ke peringkat akhir. Penulis percaya. Jika tidak, mengapa lupa diri hingga muncul seperti budak-budak kampung zaman dulu, jambul di depan. Kemudian ada pula ekor di belakang? Penulis yakin, jutaan rakyat China akan ketawa dan memperli fesyen itu. Malah sebagai rakyat Malaysia, penulis juga kecewa kerana mereka adalah duta Malaysia di Guangzou, China. Orang akan berkata, oh itulah orang Malaysia? Oh, begitukan orang Malaysia ketika terkejut kerana berjaya?
Sedih penulis mendengar ulasan juruhebah yang mengatakan; “ ..mudah-mudahan penampilan (fesyen) itu akan mendatangkan TUAH. Agaknya juga semua pemain bersangkaan begitu, termasuk juga jurulatih Malaysia. Jika demikianlah, benarlah Melayu mudah lupa. Lupa bahawa diri yang ada sebelum itu, itulah yang bertuah sehingga mereka berjaya masuk ke peringkat akhir.
Semangat juang pemain di peringkat akhir sesungguhnya telah pun berkurangan. Dalam minda pemain tidak lagi terselit 100% semangat untuk mengalahkan pasukan lain. Minda pemain terisi keinginan di lihat sebagai pemain yang memiliki fesyen rambut. Langkah ke padang pertandingan di dahului oleh ‘mahunya’ mereka dilihat ‘sudah lain’ dari sebelumnya. Sudah pasti, ketika itu pemain juga melihat skrin besar, berharap melihat wajah mereka muncul dengan rambut jambul, botak dan berekor sambil disaksikan oleh jutaan manusia di luar Guangzou. Mereka sudah puas selepas yang dihajati tercapai!
Oleh yang demikian, tidak hairan jika pemain kita kerap melakukan kesalahan dan melepaskan beberapa kali peluang yang ada. Malah tidak dapat menyempurnakan pukulan penalti pun. Mereka sudah puas sebelum bermain! Sengat berbisa yang ada ketika menentang India sudah tidak ada lagi. Ketika penulis melihat siaran langsung di kaca tv, penulis sudah meramalkan pun bahawa pemain hoki Malaysia pasti akan dikalahkan. Kawan penulis bertanya mengapa? Penulis berkata bahawa penulis melihat pemain Malaysia muncul bersama nafsu – ingin dilihat sebagai pemain yang berfesyen. Mereka tidak tampil sebagai pasukan yang memiliki semangat ‘semangat makan orang’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan