Keputusan makhamah adalah telus! Pembebasan itu tidak perlu dipertikaikan lagi. Yang mempertikaikannya adalah yang tidak menghormati sistem perundangan yang ada. Itu pun jika ada atau mungkin kerana bimbangkan sesuatu yang hanya dia yang tahu.
Perkembangan terbaru itu pastinya mencetuskan gelombang pemikiran luar biasa di kalangan pemimpin yang berhasrat untuk menerajui kepimpinan negara. Samada pemimpin yang mahu terus dapat melanjutkan dominasi pemerintahan atau pemimpin yang ingin mahu mengekang dominasi pemerintah sebelumnya untuk menjadi pemerintah yang baru. Pergolakan pasti akan timbul di kalangan orang-orang yang berhasrat untuk mengambil kesempatan di pilih menjadi calon di setiap kawasan.
Gambaran pergolakan itu biasanya akan mudah diketahui . Kehadiran Calon Bebas dalam pilihanraya, antaranya adalah disebabkan rasa tidak puas hati segelintir pemimpin apabila tidak dipilih oleh parti dan merasakan dirinya lebih dipercayai oleh pengundi di tempatnya berbanding kepercayaan parti terhadapnya.
Ada calon bebas terdahulu menang dalam pilihanraya walaupun dia bukan mewakili parti yang disahkan. Calon bebas ini tidak mempunyai hasrat pun untuk membentuk kerajaan kerana calon-calon Bebas tidak mempunyai perikatan. Mereka bertanding untuk diri mereka dan untuk kawasan mereka sahaja. Kemenangan calon Bebas, pada saya, lebih berbentuk amaran kepada mana-mana parti yang dianggotainya sebelum itu bahawa kesilapan parti memilih calon boleh menyebabkan parti itu kehilangan 'kerusi'.
Berhubung dengan perkembangan terbaru yang dimaksudkan di atas, apakah itu suatu jawapan kepada kemampuan parti pembangkang untuk meraih lebih banyak sokongan lagi daripada rakyat? Rakyat sendiri akan menentukannya. Jika rakyat tahu bahawa politik itu bermaksud 'suatu kaedah untuk menguasai hati dan pemikiran orang lain' tentu rakyat akan berfikir dua kali sebelum menerima segala yang diperkatakan dan dijanjikan oleh mana-mana parti politik.
Berfikir dua kali bukan bermakna fikir mahu atau tidak sahaja tetapi berfikir secara kritis, menilai kebaikan dan keburukan/kelemahan sesuatu perjuangan yang dihamburkan kepada mereka. Membuat jangkaan secara matang adakah isu yang diperjuangkan oleh parti mampu memberikan lebih banyak keuntungan kepada dirinya sendiri (rakyat) dalam tempoh satu penggal pemerintahan parti itu.
Rakyat harus memahami bahawa mendapat sebuah rumah batu tetapi dengan halaman dan persekitaran yang kering kontang, berdebu, kacau-bilau adalah tidak bermakna. Samalah juga jika seorang petani mengharapkan sistem pengairan dilaksanakan tetapi yang diberi adalah biji benih. Biji benih tidak akan tumbuh tanpa air! Seorang nelayan mengharapkan keluasan menangkap ikan, pembangunan yang diberi tetapi menjadikan nelayan kehilangan tempat tinggal. Semua perkara seumpama ini harus difikirkan secara mendalam oleh rakyat sebelum memangkah kertas undi semasa pilihanraya.
Maknanya, siapa pun pemimpin itu, sepetah mana pun lidahnya berbicara, semuluk mana pun pujuk rayunya....yang penting, rakyat harus berfikir matang sebelum memilih! Jadi, rumusnya di sini, apakah dengan perkembangan terbaru dimaksudkan pembangkang semakin ampuh meraih sokongan rakyat? Kita boleh menekanya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan