Belanjawan Negara yang baru dibentangkan...sememangnya banyak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Golongan guru antara kumpulan yang berasa gembira dengan 'berita' yang disampaikan. Alhamdulillah, syukur kehadrat-Nya. Khabar baik ini adalah atas ketentuan-Nya jua.
Berita gembira itu sudah tentu akan memberi nafas kepada sebilangan guru yang banyak membuat pinjaman peribadi di bank-bank di negara ini. Tidak kurang pula yang selepas ini mungkin akan mula berfikir untuk melihat 'sifir' pengiraan bayaran bulanan bagi loan baru yang telah dirancang namun ditangguh sementara waktu sebelum ini.
Adakah selepas menerima 'durian runtuh' itu nanti keperluan persekolahan anak-anak akan dapat dilengkapkan atau 'keuntungan tiba-tiba' itu akan hanya dihabiskan di meja-meja pusat hiburan, di mesin judi atau untuk menggantikan ekzos kereta yang belum rosak. Apa pun, apabila ianya sudah diperolehi, pemberian itu sudah menjadi hak milik si penerima. Apa pun, itu hak si penerima!
Si pengumpul wang keuntungan - pengusaha funfair, ketika ini sudah mula tersenyum lebar. Untung besar....untung besar..! Mereka tahu, di kebanyakan di daerah negeri ini, rakyatnya masih belum biasa melihat funfair. Asal funfair di buka mereka pasti datang. Bawa anak-anak kecil, bawa isteri bawa suami. Yang bujang datang berkumpulan atau berpasangan. Tujuan mereka, ke funfair untuk berhibur. menghiburkan anak-anak. Berpeleseran atau menjadikan lokasi tempat memadu asmara. Apa pun, itu hak mereka! Soal pengusaha funfair telah mengambil 'keuntungan' itu dari tangan mereka bukan masalah. Lagi pun telah ditukarkan juga dengan hiburan yang menyeronokkan beberapa minit atau jam berada di lokasi itu.
Mungkinkah akan bertambah juga bilangan 'orang-orang susah' di tepi-tepi jalan dan yang berjalan dari meja ke meja di dalam restoran bermula ketika bonus awal mula diterima disember tahun ini? Mungkin juga kes ragut, rompak dan pukau akan aktif semula di setiap pekan dan bandar di penghujung tahun ini dan di awal tahun 2012! Apa pun...bagi kita, rakyat Malaysia...janganlah berlunjur sebelum duduk apabila mendapat tahu akan menerima durian runtuh. Mana tahun, BN akan ditumbangkan! Bagaimanapun, bersedekah kepada orang miskin adalah amalan yang mulia.
Sebagai seorang guru, saya semestinya berasa gembira. Tidak seperti pekerja awam yang lain, guru kerap berbelanja lebih menggunakan wang sendiri untuk keperluan anak-anak didiknya dan ketika melaksana tugas-tugasnya sebagai guru mata pelajaran, sebagai jurulatih sukan, sebagai pengurus pasukan sekolah dan lain-lain. Seseorang guru - kerana inginkan kejayaan anak didiknya, ingin menjadikan bilik darjahnya ceria, ingin muridnya bermain tangkas dan sebagainya 'selalu' mengeluarkan pendapatan bulanannya untuk tujuan itu. Wang sendiri. Sukurlah dengan berita gembira yang baru dibentangkan!
Apa pun, itu belanjawan negara bagi tahun 2012 seandainya Malaysia masih lagi diperintahi oleh Barisan Nasional. Sekiranya Pembangkang berjaya menumbangkan kerajaan yang memerintah sekarang...'durian' yang ditunggu itu mungkin tidak akan gugur atau jika gugur pun, mungkin buah yang sudah busuk, rosak dan tidak berisi. Sekarang, terpulanglah kepada kita, rakyat Malaysia untuk berusaha mendapatkannya atau menolak saja buah durian itu mentah-mentah. Namun sebagai guru, saya sudah tentu mengharapkan 'durian' itu diberikan kepada saya secara percuma dan isinya isi yang masak dengan sempurna.
Apapun, itu adalah berita. Berita awal. Berita begini boleh saja kita samakan dengan 'ramalan cuaca' yang biasanya ada kebenaran dan berlaku dengan tepat. Kita mengharapkan berita itu bukan 'berita angin.'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan