Powered By Blogger

PERKARA 15 DALAM PERJANJIAN 20 PERKARA



Saya masih ingat, ketika saya memasuki Maktab Perguan Kent, Tuaran lebih dua dekad yang lalu. Ketika itu, pengurusan yang berkaitan PENDIDIKAN di sabah diurus sendiri oleh Kerajaan Negeri Sabah.

          Pelaksanaan sistem yang masih mematuhi perjanjian 20 Perkara ketika itu, telah memberi peluang kepada ramai penduduk Sabah yang berkelulusan SPM memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Kami inilah generasi terakhir yang sempat merasai ‘kebaikan’ daripada pelaksanaan Perkara 15: Pelajaran, Perjanjian 20 Perkara tersebut.

          Kekurangan guru khususnya di kawasan pedalaman dan terpencil ketika itu dapat diatasi. Apatah lagi ‘kami’ juga mempunyai semangat jitu untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan walau di mana sekali ditempatkan ketika itu kerana kami adalah datang daripada keluarga yang ‘sudah biasa susah’.

          Pengumuman tempat bertugas di malam terakhir berada di Maktab Perguran Kent oleh Pengetua sudah menjadi budaya waktu itu. Sungguh pun sesekali disebut tempat bertugas itu ‘tiada dalam peta’ kami menyahutnya dengan sorakan gembira penuh semangat. Apa yang pasti pada ketika itu, pengangguran di kalangan belia selepas lulus SPM dan STPM di Sabah telah dapat dikurangkan. Serentak dengan itu, peratus ‘kemiskinan’ di Sabah juga dapat diturunkan.

          Namun sejak Perkara 15 : Pelajaran ini tidak lagi dipakai, sangat ramai penduduk Sabah yang berkelulusan SPM, STPM, Diploma dan Ijazah yang masih menganggur. Hendak memasuki Maktab Perguruan pun terlalu sukar kerana kuota bilangan kemasukan ke maktab perguruan tidak lagi sebanyak dahulu. Persaingan juga terlalu tinggi. Kedaifan pembangunan tidak dapat dipertikaikan menjadi antara punca penduduk/pelajar Sabah masih belum mampu bersaing di peringkat kebangsaan.

          Ringkasnya, apabila kemasukan ke maktab perguruan di Sabah bukan lagi atas pengurusan mutlak negeri Sabah, bilangan pelajar yang terpaksa bertambah lebih susah kerana keluarga mereka terpaksa berbelanja lebih. Berhutang dan berjual tanah bendang.

          Artikel ini bukan bertujuan anti kepada perpaduan. Ia hanya pernyataan dan pendapat penulis tentang kebaikan yang dirasa dan dilihat ketika soal pendidikan di Sabah masih lagi bertaut pada Perkara 15: Pendidikan dalam Perjanjian 20 Perkara tersebut. 

Rujukan :

Perkara 15: Pelajaran

Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

Untuk pengetahuan umum.

Perkara 18: Nama Ketua Negeri

Yang Di Pertua Negara.  ß [bukan YDP Negeri]

NGAM SABAH NGAM: RENTETAN SERANGAN PENCEROBOH DI LAHAD DATU

NGAM SABAH NGAM: RENTETAN SERANGAN PENCEROBOH DI LAHAD DATU: Serangan penceroboh di Lahad Datu dan Semporna, Sabah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Sabah sendiri. Apatah ...

PILIHANRAYA ...PILIH SIAPA?

Orang-orang besar, sudah tahu bila akan pilihan raya. Cuma belum pasti bila tarikh pilihanraya atau sengaja macam tidak tahu supaya tidaklah rumah sentiasa macam rumah terbuka hari raya. Orang-orang kecil macam tahu bila pilihanraya tapi sebenarnya itu hanya bahan cerita di balairaya dan perbualan ketika berjalan bersama di bahu jalanraya. 

Ada yang bersemangat 1 Malaysia, ada yang sepakat 'sama rata', ada yang berkata jika susah-susah ikut saja roket  ke bulan atau terus saja ke bintang. Pendek kata, macam-macam pepatah baru yang direka semata-mata untuk membuka minda, kononnya!

Mana-mana orang besar yang sudah di luar pagar, orang kecil pasti akan dengar khabar projek besar akan ditabur ditebar dekat pagar rumahnya. Suasana tempat pun riuh rendah macam pasar. Yang pintar, akan mula jual daging bakar. Yang dungu, menunggu sambil tongkat dagu mana tahu dapat wang saku!

Macam-macam sifat. Berbagai sikap. Ada yang seperti belatuk. Ada  suka batuk-batuk. Ada yang suka mengetuk. Bila duduk-duduk, jari menari-nari tumit terjoget-joget. Meja bergegar macam ada gempa bumi.
mata liar pandang sana-sini, menarik bibir sampai nipis sebaik nasi ayam yang dimakan cuma free dan kemudian melangkah pergi tidak pandang belakang lagi. Tangannya terus dalam saku. Memegang rapi kertas  biru cobalt yang diberi. Yang pasti itu bukan kad jemputan kenduri...

Entah besok entah lusa. Bulan depan atau bulan akan datang. Selepas raya atau sebelum hari raya...mana-mana sajalah! Yang pasti ditunggu, ada bonus akan dapat sebelum pilihanraya. Kakitangan Awam akan dapat... Pun, ada juga bercakap, bonus itu umpan politik untuk pancing undi  pilihanraya. Marah-marah! Tapi duit itu dia mahu juga. Untuk guna berbelanja di jalan UMS  atau di jalan Tun Fuad - Likas. Baju yang dijual pun, 3 hari lalu baru RM7 hari ini sudah RM27, less 50%.

Pilihanraya adalah peluang pilihan rakyat diguna sepenuhnya. Janganlah lagi sengaja merosakkan undi. Jangan percaya pada orang yang cakap dia tolong pegang kad pengenalan supaya senang kena kasi wang bikin tambang. Nanti kad hilang dan tidak dapat memangkah ruang petak calon yang mau diundi. 

APA PUN, pilihanraya sudah dekat! Akan sampai masa sebelum pilihanraya itu kita semua akan tahu dan pasti itulah tarikh pilihanraya. Berita dari SPR itu memang benar bukan macam khabar terbaru konon kiamat bulan 12.

20 PERKARA SEMPENA HARI MALAYSIA KE-49 TAHUN.


Perkara 1: Agama

Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.

Perkara 2: Bahasa

  • Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan
  • Penggunaan Bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas Hari Malaysia
  • Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.

Perkara 3: Perlembagaan

Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagan Malaysia seharusnya dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali. Sebuah perlembagaan baru untuk Borneo Utara sewajarnya amat diperlukan.

Perkara 4: Ketua Persekutuan

Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.

Perkara 5: Nama Persekutuan

"Malaysia" bukan "Melayu Raya".

Perkara 6: Imigresen

Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukkan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja. Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.

Perkara 7: Hak Menarik Diri

Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.

Perkara 8: Borneonisasi

Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.

Perkara 9: Pegawai-pegawai British

Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.

Perkara 10: Kewarganegaraan

Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan :

  • Perenggan kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama 5 tahun
  • Untuk diselaraskan dengan undang-undang kami, perenggan kecil (II) sepatutnya menyatakan "7 daripada 10 tahun" dan bukan "8 daripada 10 tahun"
  • Perenggan kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia semestinya menjadi warganegara persekutuan.

 Perkara 11: Cukai dan kewangan

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri.

 Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara

Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang dipraktikkan di Malaya tidak semestinya digunapakai oleh Borneo Utara.

Perkara 13: Kerajaan Negeri

Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.

 Perkara 14: Jangkamasa Peralihan

Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan persekutuan.

Perkara 15: Pelajaran

Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

 Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan

Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. Kuasa ini adalah hak mutlak penduduk negeri ini.

 Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan

Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.

 Perkara 18: Nama Ketua Negeri

Yang Di Pertua Negara.

Perkara 19: Nama Negeri

Sabah.

Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara. Seperti itu juga, Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

AKAN DIBERI BONUS LAGI.....

ADA BONUS KONON BULAN JUN INI
APA JENIS BONUS...
SAYA PUN TIDAK TAU
TAPI KALAU MEMANG ADA
DAN MEMANG MACAM ADALAH....
SAYA TETAP SUKA
LAGI BANYAK LAGI BAGUS
DAN
BIARLAH BANYAK
BOLEH KITA KETAWA BANYAK
HA HA HA HA HA


APAKAH PEMBANGKANG SEMAKIN 'AMPUH' MERAIH SOKONGAN?

Keputusan makhamah adalah telus! Pembebasan itu tidak perlu dipertikaikan lagi. Yang mempertikaikannya adalah yang tidak menghormati sistem perundangan yang ada. Itu pun jika ada atau mungkin kerana bimbangkan sesuatu yang hanya dia yang tahu.

   Perkembangan terbaru itu pastinya mencetuskan gelombang pemikiran luar biasa di kalangan pemimpin yang berhasrat untuk menerajui kepimpinan negara. Samada pemimpin yang mahu terus dapat melanjutkan dominasi pemerintahan atau pemimpin yang ingin mahu mengekang dominasi pemerintah sebelumnya untuk menjadi pemerintah yang baru. Pergolakan pasti akan timbul di kalangan orang-orang yang berhasrat untuk mengambil kesempatan di pilih menjadi calon di setiap kawasan.

   Gambaran pergolakan itu biasanya akan mudah diketahui . Kehadiran Calon Bebas dalam pilihanraya, antaranya adalah disebabkan rasa tidak puas hati segelintir pemimpin apabila tidak dipilih oleh parti dan merasakan dirinya lebih dipercayai oleh pengundi di tempatnya berbanding kepercayaan parti terhadapnya.
Ada calon bebas terdahulu menang dalam pilihanraya walaupun dia bukan mewakili parti yang disahkan. Calon bebas ini tidak mempunyai hasrat pun untuk membentuk kerajaan kerana calon-calon Bebas tidak mempunyai perikatan. Mereka bertanding untuk diri mereka dan untuk kawasan mereka sahaja. Kemenangan calon Bebas, pada saya, lebih berbentuk amaran kepada mana-mana parti yang dianggotainya sebelum itu bahawa kesilapan parti memilih calon boleh menyebabkan parti itu kehilangan 'kerusi'.

   Berhubung dengan perkembangan terbaru yang dimaksudkan di atas, apakah itu suatu jawapan kepada kemampuan parti pembangkang untuk meraih lebih banyak sokongan lagi daripada rakyat? Rakyat sendiri akan menentukannya. Jika rakyat tahu bahawa politik itu bermaksud 'suatu kaedah untuk menguasai hati dan pemikiran orang lain' tentu rakyat akan berfikir dua kali sebelum menerima segala yang diperkatakan dan dijanjikan oleh mana-mana parti politik.

   Berfikir dua kali bukan bermakna fikir mahu atau tidak sahaja tetapi berfikir secara kritis, menilai kebaikan dan keburukan/kelemahan sesuatu perjuangan yang dihamburkan kepada mereka. Membuat jangkaan secara matang adakah isu yang diperjuangkan oleh parti mampu memberikan lebih banyak keuntungan kepada dirinya sendiri (rakyat) dalam tempoh satu penggal pemerintahan parti itu.

   Rakyat harus memahami bahawa mendapat sebuah rumah batu tetapi dengan halaman dan persekitaran yang kering kontang, berdebu, kacau-bilau adalah tidak bermakna. Samalah juga jika seorang petani mengharapkan sistem pengairan dilaksanakan tetapi yang diberi adalah biji benih. Biji benih tidak akan tumbuh tanpa air! Seorang nelayan mengharapkan keluasan menangkap ikan, pembangunan yang diberi tetapi menjadikan nelayan kehilangan tempat tinggal. Semua perkara seumpama ini harus difikirkan secara mendalam oleh rakyat sebelum memangkah kertas undi semasa pilihanraya.

   Maknanya, siapa pun pemimpin itu, sepetah mana pun lidahnya berbicara, semuluk mana pun pujuk rayunya....yang penting, rakyat harus berfikir matang sebelum memilih! Jadi, rumusnya di sini, apakah dengan perkembangan terbaru dimaksudkan pembangkang semakin ampuh meraih sokongan rakyat? Kita boleh menekanya sendiri.





BENARKAH UMNO AKAN TUMBANG DI....

Benarkah UMNO akan tumbang di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia? Dan akan berlakukah lagi, tiga negeri penyumbang kemenangan UMNO di Malaysia - Pahang, Sarawak dan Sabah akan terus bertahan sebagaimana bertahannya Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Crooker?

Jika benarlah khayalan sebilangan pemimpin yang membangkang kesatuan pelbagai parti dalam Barisan Nasional untuk terus menerajui pemerintahan negara ini akan terbukti, apakah akan terjadi kepada negara yang dipimpin oleh tiga perikatan parti yang berbeza ideologinya?

Adakah benar pemimpin dari parti Keadilan akan menjadi Perdana Menteri sekiranya parti pembangkang memenangi pilihanraya umum kali ini? Ataukah parti Keadilan hanya akan menjadi kambing hitam kepada dua parti pembangkang yang besar dan kemudian dijadikan pula sebagai batu loncatan untuk satu cita-cita lama yang tersembunyi - menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Siapa pun boleh berkata bahawa 'Kita Memiliki Satu Perjuangan Yang Sama' tetapi adakah parti yang memiliki kerusi terbanyak dapat menerima dan terus akur bahawa parti yang paling lemah menjadi peneraju pemerintah? Tentu saja akan timbul persoalan 'di mana demokrasi yang sebenar?' Demokrasi sebenar adalah parti yang memiliki kerusi terbanyaklah yang menjadi peneraju. Jika tidak, pelbagai masalah akan wujud, antaranya adalah undi tidak percaya di dalam dewan atau parlimen.

Jika benar pun, dari parti terkecil pun boleh dilantik Ketua Menteri tapi ini isu Ketua Menteri bukan isu Perdana Menteri. Jika isu penggiliran Ketua Menteri pun sudah tidak 'terpakai' apatah lagi andainya berlaku kepada jawatan Perdana Menteri. Mungkin juga alasan pelbagai parti dalam Brisan Nasional dijadikan contoh terdekat kepada cara meyakinkan rakyat bahawa parti perikatan pembangkang juga boleh menjadi pemerintah yang baik. Pandangan ini, jika dilihat dari sudut luaran tentu saja jawapannya YA.

Namun, benarkah perpaduan itu akan wujud dalam parti 'pemerintah itu' kelak? Benarkah kesepakatan itu dapat menyamai kesepekatan parti dalam Barisan Nasional yang telah dipupuk sejak awal perjuangan kemerdekaan lagi? Ia masih menjadi satu tanggapan yang berbentuk bayang-bayang. Jika siang, nampak seolah-olah jelas namun bila malam akan hilang, lenyap ditelan kegelapan yang penuh tanda tanya.

Apa pun, demokrasi memberikan peluang kepada rakyat memilih siapa yang mereka kehendaki dan percaya untuk menerajui pemerintahan negara. Dalam negara demokrasi, kerajaan dipilih oleh rakyat. Malah, seorang petani sekali pun boleh berkata bahawa dialah yang memilih kerajaan. Namun, paling penting - bertuahkah kita selepas memilih satu parti pemerintah yang baru atau akan menangiskah kita untuk satu tempoh paling kurang 60 bulan berikutnya - KITALAH PENENTUNYA.