Powered By Blogger

BILA TIBA HARI RAYA....

Bila tiba hari raya, hatiku menjadi semakin sayu. Entah puasaku telah sebaik yang aku harapkan dan entah akan adakah lagi usia untuk Ramadhan di tahun hadapan. Pusara kedua orang tua juga tidak dapat dikunjungi kerana tinggal jauh dari kampung halaman. Rindu kepada kemeriahan berhari raya di kampung bersama adik-beradik yang mengharap kepulanganku bertambah terasa bila terdengar alunan takbir.

Beginilah apabila berkeluarga. Adakalanya terpaksa juga mengalah kepada keinginan anak-anak yang tak mahu balik ke kampung halaman ayah mereka. Maklumlah juga, di kampung halaman mereka cuma ada keluarga adik beradikku. Di sini mereka ada sahabat sepersekolahan dan jiran sekampung.

Tahun ini, sekali lagi adik-beradikku datang menziarah beramai-ramai namun tidak semuanya dapat datang bersama. Namun sekembalinya mereka ke kampung halaman nun jauh di utara, aku kembali berasa kesunyian. Hendak mengubat rasa sunyi dengan bertandang ke rumah ipar/biras...juga sepi dan kurang meriah. Aku menghabiskan masaku di rumah dan melayan tetamu yang datang.

Didakap sayu dan sunyi menyedarkanku betapa manisnya hubungan yang erat di antara adik-beradik. Alangkah bahagianya sebuah keluarga besar yang dapat mengekalkan hubungan baik di antara ahlinya. Semoga hubungan sebegini dapat diwariskan kepada anak-anak dan cucu cicit.

Dapat juga kubayangkan betapa pilu dan peritnya perasaan insan yang terpaksa berpisah dengan keluarga dan orang tersayang khususnya pada ketika tibanya Hari Raya.

Bila tiba hari raya...hatiku pasti sempat meminta kepada-Nya, suatu kehidupan yang tenang dan bahagia meski acap kali aku berasa rindukannya.

KEPADA GURU : KALAU TIDAK MAHU DILAMBUNG OMBAK, JANGANLAH MEMBUAT RUMAH DI TEPI PANTAI.

Sejak akhir-akhir ini, kita terbaca berbagai bentuk rungutan daripada pihak guru. Bentuk kerja dan bebanan kerja menjadi isu utama. Keadaan sudah terbalik! Kalau dulu, guru yang merungut adalah guru-guru di pedalaman. Kehidupan yang susah dan serba-serbi kekurangan diwar-warkan minta simpati daripada kementerian pelajaran atau pun Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing. Persoalannya sekarang ialah, mengapa rungutan guru yang kita baca banyak datang daripada guru bukan di pedalaman lagi? Mungkinkah guru di pedalaman sudah tertutup mulut oleh elaun khas yang diterima menjadikan mereka tidak lagi berminat untuk merungut atau adakah guru bukan bertugas di pedalaman sememangnya terlalu dibebani kerja?

Apa yang menyedihkan, kebanyakan rungutan guru yang kerap kita baca adalah kerana tugasan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan perlu pula dilaksanakan secara online. Mungkin ada asasnya guru-guru ini merungut kerana server sering 'tersangkut' atau 'tiba-tiba saja mati' ketika kerja berada di pertengahan atau di penghujung; Dan akibatnya, guru terpaksa melakukannya semula dari awal.

Bagaimanapun, sekiranya guru merungut atas sebab (yang dikatakan) terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian yang banyak sedangkan mereka juga dibebani oleh tanggungjawab mendidik pelajar yang tak ada penghujungnya - mungkin ia suatu tindakan yang tidak praktikal. Guru seharusnya juga mengetahui setiap jenis kerja yang dikategorikan sebagai kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran selain daripada kerja mengajar dan semua jenis kerja yang melibatkan pelajar.

Rasionalnya ialah pada suatu ketika, apabila rezeki sudah sampai, guru tersebut juga akan memikul tugas sebagai pentadbir sesebuah sekolah. Jadi, semua jenis kerja itu adalah di bawah pantauannya. Pada ketika itu, tindakan untuk 'baru mempelajari kesemua kerja-kerja perkeranian' bolehlah dianggap kurang bijak kerana hal itu sudah tentu akan melambatkan atau mencacatkan proses pengurusan dan pentadbiran sekolah tersebut.

Sebagai seorang guru biasa, mempelajari semua perkara yang sememangnya wujud di sekolah adalah lebih baik daripada terus merungut. Tambahan lagi, suatu ketika guru juga inginkan kenaikan pangkat. Tanpa pengetahuan tersebut, sukarlah Guru Besar atau Pengetua mencalonkannya untuk memegang tanggungjawab sebagai Penolong Kanan atau pun dilantik pula sebagai Guru Besar atau Pengetua di sekolah. Andai rezeki tidak menyebelahi, apalah salahnya kita mempelajarinya dengan tujuan menambah ilmu pengetahuan.

Merungut tidak akan memberikan apa-apa faedah melainkan hanya akan mewujudkan hubungan yang tegang di antara guru biasa dengan pentadbir sekolah. Dalam masa yang sama, sudah pasti dalam hati guru akan ada tanda-tanda kurang memberikan kerjasama terhadap organisasi di sekolah. Jika ini berlaku, adalah sukar untuk organisasi tersebut mencapai misi dan visinya.

Sebagai seorang guru, saya mencadangkan agar guru-guru yang kerap merungut ini selalulah bersabar terhadap masalah yang dihadapi. Jadikanlah kerja-kerja yang diamanahkan sebagai amalan dan ibadah. Insya-Allah, dengan cara ini setiap masalah itu akan berubah menjadi 'perangsang' kepada guru berkenaan untuk terus bekerja dengan lebih bermotivasi.

KALAU TIDAK MAHU DILAMBUNG OMBAK, JANGANLAH MEMBUAT RUMAH DI TEPI PANTAI. Kita harus menyedari bahawa tugas guru akan terus mencabar dari tahun ke tahun sesuai dengan kehendak semasa. Tunjukkanlah tahap profesional kita sebagai kakitangan yang tergolong dalam KUMPULAN PROFESIONAL.

Sekian. Selamat bertugas sebagai guru dan Selamat Berpuasa (kepada yang berpuasa).

BILA DALAM HATI ADA TITIK HITAM

Mengkaji peribadi seseorang memerlukan pendekatan yang pelbagai. Jika ingin mengkaji keburukannya, tanyalah pada musuh orang itu. Kalau mahu mengenali kebaikannya, tanyalah pada rakan karibnya. Itu Pendekatan lapuk namun masih kerap digunakan oleh orang tertentu. 

   Bagaimanapun, saya mengsyorkan agar anda tidak mengguna-pakai pendekatan ini. Rasionalnya, seseorang musuh tentu saja akan menggunakan kesempatan yang datang untuk memburukkan lagi orang yang tidak disukainya. Pendek kata, jika dalam hatinya ada titik hitam...yang betul dikatakan salah. Yang baik diterbalikkan menjadi jahat. Dan dalam masa yang sama, dia pula akan berusaha menonjolkan dirinya sebagai orang yang paling baik walaupun hakikatnya dia adalah orang yang mempunyai hati yang busuk dan peribadi yang menjengkelkan. Masalahnya lagi, adakah anda memiliki titik hitam di hati?  Jika ya, anda akan terjangkit penyakit hati yang ada pada 'musuh' yang ditanya tadi. Penyakit anda akan bertambah parah!

   Bila dalam hati ada titik hitam...pandangan bagai waktu malam tanpa bulan. Semua hitam. Pohon pisang yang bergoyang dilihat hantu yang mendepa tangan. Walau mata terbeliak luas, jalan masih juga tidak dapat dilihat jelas. Teraba-raba dan sentiasa membuat andaian berdasarkan prasangka. Orang seperti inikah tempat anda hendak bertanya perihal peribadi seseorang? Jika dia tersandung disalahkan akar, di salahkan malam. Memaki dan menyumpah. Dia berlagak jadi manusia yang paling baik...semua di sekelilingnya tidak baik.

   Pemerhatian saya terhadap sifat manusia yang berbagai - jijiknya sikap manusia adalah kerana di hatinya ada titik hitam yang tidak boleh dibasuh bersih. Perlahan-lahan menjadi barah, merosakkan tisu hatinya sehingga sampai suatu ketika hatinya sudah menjadi hitam sepenuhnya. Bersaranglah di hatinya penyakit buruk sangka, hasad dengki, bongkak, sombong, angkuh dan riak. Hatinya tidak tulus lagi. Lidahnya dikuasai oleh penyakit hatinya. Fikirannya sentiasa dibisikkan hal-hal yang tidak baik. Hilanglah daripadanya sifat kelembutan. Lenyaplah darinya budi bahasa dan sopan santun dalam berbicara. bahasa menjadi kesat, kasar.

   Perlahan-lahan penghormatan orang lain kepadanya juga akan hilang....dan mulalah dia menyalahkan orang lain lagi. Andai dia seorang pekerja...suatu ketika, dia akan merasakan seperti hidup di tempat itu bagai dalam neraka. Orang beginikah yang anda hendak jadikan tempat bertanya peribadi orang lain?
   Tepuk dada tanya iman..jangan tanya selera kerana selera selalunya memilih perkara kejahatan. Kejahatan pula biasanya menyeronokkan bagi hati yang di dalamnya ada titik hitam atau sudah menjadi hitam. 

Tips : Ketika anda sedang berbincang secara tertutup dan dia seorang kakitangan anda, kemudian dia bercakap dengan nada lebih tinggi dari nada suara anda, itu tandanya dia kurang memikirkan soal penghormatan kepada orang lain atau kepada ketuanya.

TERASA BAGAI BALIK KE KAMPUNG SENDIRI..!

Berada di Semporna...memang menyeronokkan. Pemandangan tepi pantai dan lautnya memang mengasyikkan. Kebetulan juga, saya sememangnya amat menyukai lokasi seperti itu dan mempunyai pengalaman hidup di pesisiran pantai beberapa tahun yang lalu. Tidak hairanlah jika saya berasa seronok walau baru berdiri di gigi pantai, melihat kejauhan pulau yang samar dikelilingi laut yang membiru.

Saya tidak sempat mengikuti rombongan sekursus mengelilingi Pulau Bum-Bum. Pastinya keindahan yang mereka lihat jauh lebih daripada saya. Namun pun demikian, pengalaman saya memandang tempat-tempat menarik di setiap sudut Pulau Banggi, Kudat lama dahulu...saya yakin keindahannya tidaklah jauh berbeza.

Melihat pesisir pantai dan rumah-rumah atas air/kg air dari Seafest Hotel Semporna, saya berasa sudah kembali berada di satu tempat yang telah lama saya tinggalkan - kehidupan nelayan yang saya minati. Maklumlah juga, pengalaman pertama saya meninggalkan kampung untuk bertugas di lain daerah  dan mula hidup sendiri - berdikari, adalah di tempat yang lebih kurang serupa keadaannya. Sebab itu, terasa bagai kembali 'ke kampung' halaman sendiri.

Dalam diam, saya memendamkan rasa. Jika boleh ingin lagi saya dihantar bertugas di tempat seperti ini. Mengisi masa terluang dengan memancing ikan di hujung jeti atau di laut dalam, mencari ketam di malam hari, memancing sotong, menyelam ke dasar laut melihat batu karang yang beraneka warna, bentuk dan kecantikannya.

Tapi, adakah usia ini masih mengizinkan saya untuk berada di sini atas amanah yang besar? Dan adakah saya masih berpeluang ke sini untuk satu misi dan visi yang agung? Hanya Tuhan Maha Mengetahuinya.


MEMANG SUSAH JIKA TIDAK MENGUASAI ILMU

Hari ini saya bekerja juga. Bukan bertugas mengajar seperti biasa tetapi bertugas sebagai 'orang yang terlibat dalam satu organisasi' berstatus Sabah.

Seperti biasa, kehadiran saya seperti kurang disenangi oleh staff yang ada. Sudah menjadi lumrah manusia, apabila tertekan disebabkan kelemahan sendiri, kehadiran orang lain yang memahami perkara tersebut dan kerap pula bertanya mengenai sesuatu yang tidak dikuasai - kehadirannya tidak berapa diterima.

Susahnya apabila memikul tugas yang memang kita tidak arif mengenainya. Masalah tidak memahami tugas atau tidak menguasai ilmu dalam bidang tugas yang diamanahkan adalah satu hal tetapi sebagai staff yang diambil oleh yang bertanggungjawab melantik seharusnya dapat menjelaskan bidang tugas dan senarai tugas mereka. Supaya dengan itu, mereka/staff dapat bekerja dengan lebih bersih, cekap dan amanah.

Staff yang kurang cekap akan merugikan organisasi/syarikat kerana syarikat akan membayar upah yang tetap sedangkan kualiti kerja mereka di bawah tahap kualiti sederhana. Sebahagian kakitangan yang berkata bahawa tidak meminati jenis kerja yang diberikan sepatutnya tidak 'keluar' dari mulut pekerja yang bersetuju menerima kerja tersebut. Kata-kata seumpama ini hanyalah satu 'helah' untuk melarikan diri atau meminta dikasihani.

Pengurusan pejabat yang cekap atau tidak cekap akan mudah sahaja dikenal pasti melalui sistem fail yang ada. Sistem fail yang 'berterabur' menggambarkan pengurusan pejabat dan dokumen yang tidak menentu. Sudah pasti masalah ini akan mendatangkan kesan jangka panjang kepada organisasi/syarikat.

Kemampuan organisasi untuk bersaing dalam perniagaan yang diceburi juga akan senang dilihat melalui pengurusan kewangan syarikat tersebut. Semua jenis akaun, lejar, fail berkaitan juga mestilah wujud, lengkap dan diyakini 'telus' dalam setiap laporan yang dikeluarkan. Benar. Ucapan lisan bukan jawapan kepada kemantapan pengurusan kewangan tetapi segala rekod yang berkaitan tersedia, sentiasa dikemaskini dan mudah dicari apabila kerja-kerja pengoditan hendak dilakukan. Dan setiap rekod perniagaan dapat dijelaskan dengan tepat dalam Kunci Kira-Kira Untung dan Rugi syarikat. Imbang duga perlu tepat.

Demikianlah bagi perniagaan yang melibatkan kontraktor, semua perjanjian haruslah telus, telah dibincangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah syarikat dan telah diluluskan sebelum tandatangan perjanjian dibuat. Tanpanya, ia pasti akan menyusahkan. Malah, tindakan seperti ini akan 'membuka pintu' kepada si penawar kontraktor dengan kontraktor kepada perkara 'peribadi', bukan atas nama organisasi/syarikat.

Dalam konteks perniagaan, meski pun perniagaan itu bersifat 'Sendirian Berhad', wang yang diperolehi bukan milik si pemilik kedai atau orang yang terlibat dalam organisasi. Ia masih milik perniagaan tersebut. Si pemilik kedai hanya 'mendapat upahnya' berdasarkan peratus pendapatan perniagaan. Jika wang yang masuk itu dianggap sebagai miliknya, apatah lagi bagi sebuah organisasi atau perniagaan BERHAD, bermakna individu yang terbabit telah 'pecah amanah' dan 'salahguna kuasa'. Tindakan seperti ini akan memudaratkan perniagaannya atau pun perniagaan syarikat.

Untuk itu, sebagai 'orang' yang terlibat dalam perniagaan BERHAD, ketegasan saya sering disalah tafsir. Pun begitu, saya memahami kerana mereka tidak memahami dan mengetahui konsep pengurusan dalam sesuatu organisasi. Lebih-lebih lagi yang melibatkan dua jenis pengurusan yang saya sentuh di atas.

Ah, susah rupanya?

Ya, memang susah jika tidak menguasai ilmu. Oleh itu, kepada mereka yang menyedari kelemahan diri dalam hal seperti ini, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kerja yang diamanahkan. Jangan nanti jadi seperti MONYET MENDAPAT BUNGA.