Powered By Blogger

TERPAKSAKAH PENGUNDI PKR DAN PAS MENGUNDI CALON DAP?

Permasalahan dalaman DAP yang dikaitkan dengan isu 'copy and paste' telah menyebabkan parti itu tidak dibenar menggunakan lambang parti itu dalam Pilihanraya Umum 13 hujung April ini. Sama ada masalah ini sengaja dibiarkan oleh DAP demi strategi parti untuk meraih undi pengundi Melayu atau pun sememangnya masalah ini berpunca daripada kecuaian di pihak atasan pengurusan parti, yang pasti dalam PRU13 ini parti DAP akan menggunakan lambang PAS di Semenanjung Malaysia dan lambang PKR di Sabah.

       Pilihanraya Umum ke-12 dan sebelumnya memperlihatkan bahawa di setiap kawasan di mana pengundi kaum cina adalah majoriti, parti DAP boleh dengan mudah memenangi kerusi yang dipertandingkan di kawasan itu. Apa yang dapat disimpulkan di sini bahawa kaum cina biasanya akan memilih calon yang berbangsa cina juga bagi mewakili mereka. Berlaku juga kekalahan calon  dari kaum cina di bawah panji-panji BN  apabila kedua-dua calon dari BN dan DAP adalah dari kaum cina kerana persepsi kaum cina terhadap BN adalah parti orang Melayu.

       Sejak kebelakangan ini, sebilangan besar rakyat Sabah mula lantang bersuara menyokong beberapa parti bukan komponen BN namun masih teragak-agak untuk menetapkan undi dalam PRU13 ini kepada siapa. Perkara yang amat tidak disukai oleh rakyat Sabah yang ingin menyong PAS adalah kerana PAS bekerjasama dengan DAP yang jelas kurang senang dengan undang-undang Islam itu. Demikian juga pandangan mereka terhadap PKR. Yang tidak menyukai PAS dan PKR tetapi tidak juga kepada UMNO beralih kepada parti STAR.

       Isu ayat 'langkah mayat saya dulu' yang dikeluarkan oleh pemimpin dalam parti DAP apabila PAS mencanang untuk mewujudkan undang-undang Islam di Malaysia sekiranya parti Pembangkang memerintah telah melukakan hati seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam. Malah menggores hati pemimpin-pemimpin PAS dan pengundi PAS sendiri. Perkara yang sama berlaku juga di peringkat dalaman parti dan pengundi PKR. 

       Menyentuh isu Lahad Datu, kenyataan   'sandiwara UMNO' oleh seorang pemimpin DAP dalam tragedi menyayat hati itu telah menimbulkan kemarahan  rakyat Malaysia, khususnya kaum keluarga mangsa yang terkorban dan tercedera. Cetusan ketidakpuasan hati rakyat itu berlaku di mana-mana negeri. Terjadi juga dalam kalangan penyokong PAS dan PKR termasuklah di negeri Sabah sendiri. Mungkin pemimpin DAP itu melihat kejadian di Lahad Datu itu merupakan satu peluang baginya atau bagi partinya atau bagi Parti Pembangkang untuk meraih undi khususnya daripada penduduk Sabah agar dalam PRU13 kelak rakyat Sabah akan menolak BN dan memilih Parti Pembangkang. Tiada siapa yang tahu.

     Mengorbankan lambang roket dalam PRU13 mungkin merupakan satu mainan psikologi parti DAP. Apalah sahaja yang ada pada lambang. Kemenangan calon adalah lebih penting. Demi untuk mendapatkan kembali 'undi' orang Melayu dan undi penentang DAP dari kalangan pengundi PAS dan PKR, bertanding menggunakan lambang kedua parti itu akan 'memaksa' orang Melayu khususnya pengundi PAS dan PKR supaya terus mengundi calon parti DAP. Mungkin DAP sudah melihat fanatiknya orang Melayu terhadap lambang kedua parti tersebut. Kesetiaan orang Melayu terhadap lambang PAS dan PKR mungkin dapat menyelamatkan calon DAP tersebut kerana 'budaya' orang Melayu adalah biasanya terlalu 'taksub' kepada parti yang dimenifiestasikan melalui lambang parti.

       Jika itu terjadi bermakna DAP telah berjaya memperdayakan orang-orang Melayu khususnya pengundi-pengundi PAS dan PKR yang tidak senang dengan DAP sebelum ini untuk terus mengundi atau terpaksa mengundi calon DAP.  DAP juga berjaya mengelirukan pengundi-pengundi di Sabah. Bagi kaum cina, DAP pasti tidak bimbang kerana amalan kaum cina  'mengundi calon cina' dalam pilihanraya adalah menjadi keutamaan. Bermakna, pengorbanan mereka 'tidak memakai lambang roket' itu berjaya. Namun, apakah mungkin seseorang calon DAP itu boleh bertanding di bawah tiket PAS atau PKR sedangkan dia bukan ahli kepada parti itu?  Apakah peraturan ini tidak disebut dalam syarat seorang calon pilihanraya bagi setiap parti? 

     Kesemua pernyataan di atas adalah semata-mata pendapat saya sebagai rakyat Malaysia. Seandainya berlaku 'ORANG MEALYU/PENGUNDI PAS/PKR TERPAKSA MENGUNDI CALON DAP YANG TIDAK DISENANGI MEREKA ITU HANYA KERANA HORMATNYA MEREKA KEPADA LAMBANG PAS DAN PKR, saya ingin menutup penulisan ini dengan pendapat bahawa PENGUNDI MELAYU ITU SUDAH DIPERBODOHKAN OLEH PARTI DAP.

Okieukio


       


CONTOH PANDUAN RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

Mata Pelajaran : Bahasa Melayu
Kelas :   ..........................                                      Bilangan Pelajar : .....................
Masa :   .......................... (.........minit)

Tajuk : ........................................
HPU : .........................................
HPK :  .......................................
          Aras : ..............................


Objektif : Di akhir PdP, pelajar seharusnya dapat....
               i. .............................................
              ii. .............................................


Pendahuluan
(+- ....minit)

Aktiviti Lisan
(...minit)

Aktiviti Bacaan
(....minit)

Aktiviti Penulisan
(.....minit)

Pengayaan
Pemulihan

Penutup/
Pengukuhan

BBM

Gabungjalin & Penyerapan

Perbendaharaan Kata

Refleksi




PERKARA 15 DALAM PERJANJIAN 20 PERKARA



Saya masih ingat, ketika saya memasuki Maktab Perguan Kent, Tuaran lebih dua dekad yang lalu. Ketika itu, pengurusan yang berkaitan PENDIDIKAN di sabah diurus sendiri oleh Kerajaan Negeri Sabah.

          Pelaksanaan sistem yang masih mematuhi perjanjian 20 Perkara ketika itu, telah memberi peluang kepada ramai penduduk Sabah yang berkelulusan SPM memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Kami inilah generasi terakhir yang sempat merasai ‘kebaikan’ daripada pelaksanaan Perkara 15: Pelajaran, Perjanjian 20 Perkara tersebut.

          Kekurangan guru khususnya di kawasan pedalaman dan terpencil ketika itu dapat diatasi. Apatah lagi ‘kami’ juga mempunyai semangat jitu untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan walau di mana sekali ditempatkan ketika itu kerana kami adalah datang daripada keluarga yang ‘sudah biasa susah’.

          Pengumuman tempat bertugas di malam terakhir berada di Maktab Perguran Kent oleh Pengetua sudah menjadi budaya waktu itu. Sungguh pun sesekali disebut tempat bertugas itu ‘tiada dalam peta’ kami menyahutnya dengan sorakan gembira penuh semangat. Apa yang pasti pada ketika itu, pengangguran di kalangan belia selepas lulus SPM dan STPM di Sabah telah dapat dikurangkan. Serentak dengan itu, peratus ‘kemiskinan’ di Sabah juga dapat diturunkan.

          Namun sejak Perkara 15 : Pelajaran ini tidak lagi dipakai, sangat ramai penduduk Sabah yang berkelulusan SPM, STPM, Diploma dan Ijazah yang masih menganggur. Hendak memasuki Maktab Perguruan pun terlalu sukar kerana kuota bilangan kemasukan ke maktab perguruan tidak lagi sebanyak dahulu. Persaingan juga terlalu tinggi. Kedaifan pembangunan tidak dapat dipertikaikan menjadi antara punca penduduk/pelajar Sabah masih belum mampu bersaing di peringkat kebangsaan.

          Ringkasnya, apabila kemasukan ke maktab perguruan di Sabah bukan lagi atas pengurusan mutlak negeri Sabah, bilangan pelajar yang terpaksa bertambah lebih susah kerana keluarga mereka terpaksa berbelanja lebih. Berhutang dan berjual tanah bendang.

          Artikel ini bukan bertujuan anti kepada perpaduan. Ia hanya pernyataan dan pendapat penulis tentang kebaikan yang dirasa dan dilihat ketika soal pendidikan di Sabah masih lagi bertaut pada Perkara 15: Pendidikan dalam Perjanjian 20 Perkara tersebut. 

Rujukan :

Perkara 15: Pelajaran

Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

Untuk pengetahuan umum.

Perkara 18: Nama Ketua Negeri

Yang Di Pertua Negara.  ß [bukan YDP Negeri]

NGAM SABAH NGAM: RENTETAN SERANGAN PENCEROBOH DI LAHAD DATU

NGAM SABAH NGAM: RENTETAN SERANGAN PENCEROBOH DI LAHAD DATU: Serangan penceroboh di Lahad Datu dan Semporna, Sabah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Sabah sendiri. Apatah ...

PILIHANRAYA ...PILIH SIAPA?

Orang-orang besar, sudah tahu bila akan pilihan raya. Cuma belum pasti bila tarikh pilihanraya atau sengaja macam tidak tahu supaya tidaklah rumah sentiasa macam rumah terbuka hari raya. Orang-orang kecil macam tahu bila pilihanraya tapi sebenarnya itu hanya bahan cerita di balairaya dan perbualan ketika berjalan bersama di bahu jalanraya. 

Ada yang bersemangat 1 Malaysia, ada yang sepakat 'sama rata', ada yang berkata jika susah-susah ikut saja roket  ke bulan atau terus saja ke bintang. Pendek kata, macam-macam pepatah baru yang direka semata-mata untuk membuka minda, kononnya!

Mana-mana orang besar yang sudah di luar pagar, orang kecil pasti akan dengar khabar projek besar akan ditabur ditebar dekat pagar rumahnya. Suasana tempat pun riuh rendah macam pasar. Yang pintar, akan mula jual daging bakar. Yang dungu, menunggu sambil tongkat dagu mana tahu dapat wang saku!

Macam-macam sifat. Berbagai sikap. Ada yang seperti belatuk. Ada  suka batuk-batuk. Ada yang suka mengetuk. Bila duduk-duduk, jari menari-nari tumit terjoget-joget. Meja bergegar macam ada gempa bumi.
mata liar pandang sana-sini, menarik bibir sampai nipis sebaik nasi ayam yang dimakan cuma free dan kemudian melangkah pergi tidak pandang belakang lagi. Tangannya terus dalam saku. Memegang rapi kertas  biru cobalt yang diberi. Yang pasti itu bukan kad jemputan kenduri...

Entah besok entah lusa. Bulan depan atau bulan akan datang. Selepas raya atau sebelum hari raya...mana-mana sajalah! Yang pasti ditunggu, ada bonus akan dapat sebelum pilihanraya. Kakitangan Awam akan dapat... Pun, ada juga bercakap, bonus itu umpan politik untuk pancing undi  pilihanraya. Marah-marah! Tapi duit itu dia mahu juga. Untuk guna berbelanja di jalan UMS  atau di jalan Tun Fuad - Likas. Baju yang dijual pun, 3 hari lalu baru RM7 hari ini sudah RM27, less 50%.

Pilihanraya adalah peluang pilihan rakyat diguna sepenuhnya. Janganlah lagi sengaja merosakkan undi. Jangan percaya pada orang yang cakap dia tolong pegang kad pengenalan supaya senang kena kasi wang bikin tambang. Nanti kad hilang dan tidak dapat memangkah ruang petak calon yang mau diundi. 

APA PUN, pilihanraya sudah dekat! Akan sampai masa sebelum pilihanraya itu kita semua akan tahu dan pasti itulah tarikh pilihanraya. Berita dari SPR itu memang benar bukan macam khabar terbaru konon kiamat bulan 12.

20 PERKARA SEMPENA HARI MALAYSIA KE-49 TAHUN.


Perkara 1: Agama

Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.

Perkara 2: Bahasa

  • Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan
  • Penggunaan Bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas Hari Malaysia
  • Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.

Perkara 3: Perlembagaan

Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagan Malaysia seharusnya dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali. Sebuah perlembagaan baru untuk Borneo Utara sewajarnya amat diperlukan.

Perkara 4: Ketua Persekutuan

Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.

Perkara 5: Nama Persekutuan

"Malaysia" bukan "Melayu Raya".

Perkara 6: Imigresen

Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukkan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja. Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.

Perkara 7: Hak Menarik Diri

Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.

Perkara 8: Borneonisasi

Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.

Perkara 9: Pegawai-pegawai British

Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.

Perkara 10: Kewarganegaraan

Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan :

  • Perenggan kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama 5 tahun
  • Untuk diselaraskan dengan undang-undang kami, perenggan kecil (II) sepatutnya menyatakan "7 daripada 10 tahun" dan bukan "8 daripada 10 tahun"
  • Perenggan kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia semestinya menjadi warganegara persekutuan.

 Perkara 11: Cukai dan kewangan

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri.

 Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara

Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang dipraktikkan di Malaya tidak semestinya digunapakai oleh Borneo Utara.

Perkara 13: Kerajaan Negeri

Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.

 Perkara 14: Jangkamasa Peralihan

Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan persekutuan.

Perkara 15: Pelajaran

Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

 Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan

Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. Kuasa ini adalah hak mutlak penduduk negeri ini.

 Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan

Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.

 Perkara 18: Nama Ketua Negeri

Yang Di Pertua Negara.

Perkara 19: Nama Negeri

Sabah.

Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara. Seperti itu juga, Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

AKAN DIBERI BONUS LAGI.....

ADA BONUS KONON BULAN JUN INI
APA JENIS BONUS...
SAYA PUN TIDAK TAU
TAPI KALAU MEMANG ADA
DAN MEMANG MACAM ADALAH....
SAYA TETAP SUKA
LAGI BANYAK LAGI BAGUS
DAN
BIARLAH BANYAK
BOLEH KITA KETAWA BANYAK
HA HA HA HA HA


APAKAH PEMBANGKANG SEMAKIN 'AMPUH' MERAIH SOKONGAN?

Keputusan makhamah adalah telus! Pembebasan itu tidak perlu dipertikaikan lagi. Yang mempertikaikannya adalah yang tidak menghormati sistem perundangan yang ada. Itu pun jika ada atau mungkin kerana bimbangkan sesuatu yang hanya dia yang tahu.

   Perkembangan terbaru itu pastinya mencetuskan gelombang pemikiran luar biasa di kalangan pemimpin yang berhasrat untuk menerajui kepimpinan negara. Samada pemimpin yang mahu terus dapat melanjutkan dominasi pemerintahan atau pemimpin yang ingin mahu mengekang dominasi pemerintah sebelumnya untuk menjadi pemerintah yang baru. Pergolakan pasti akan timbul di kalangan orang-orang yang berhasrat untuk mengambil kesempatan di pilih menjadi calon di setiap kawasan.

   Gambaran pergolakan itu biasanya akan mudah diketahui . Kehadiran Calon Bebas dalam pilihanraya, antaranya adalah disebabkan rasa tidak puas hati segelintir pemimpin apabila tidak dipilih oleh parti dan merasakan dirinya lebih dipercayai oleh pengundi di tempatnya berbanding kepercayaan parti terhadapnya.
Ada calon bebas terdahulu menang dalam pilihanraya walaupun dia bukan mewakili parti yang disahkan. Calon bebas ini tidak mempunyai hasrat pun untuk membentuk kerajaan kerana calon-calon Bebas tidak mempunyai perikatan. Mereka bertanding untuk diri mereka dan untuk kawasan mereka sahaja. Kemenangan calon Bebas, pada saya, lebih berbentuk amaran kepada mana-mana parti yang dianggotainya sebelum itu bahawa kesilapan parti memilih calon boleh menyebabkan parti itu kehilangan 'kerusi'.

   Berhubung dengan perkembangan terbaru yang dimaksudkan di atas, apakah itu suatu jawapan kepada kemampuan parti pembangkang untuk meraih lebih banyak sokongan lagi daripada rakyat? Rakyat sendiri akan menentukannya. Jika rakyat tahu bahawa politik itu bermaksud 'suatu kaedah untuk menguasai hati dan pemikiran orang lain' tentu rakyat akan berfikir dua kali sebelum menerima segala yang diperkatakan dan dijanjikan oleh mana-mana parti politik.

   Berfikir dua kali bukan bermakna fikir mahu atau tidak sahaja tetapi berfikir secara kritis, menilai kebaikan dan keburukan/kelemahan sesuatu perjuangan yang dihamburkan kepada mereka. Membuat jangkaan secara matang adakah isu yang diperjuangkan oleh parti mampu memberikan lebih banyak keuntungan kepada dirinya sendiri (rakyat) dalam tempoh satu penggal pemerintahan parti itu.

   Rakyat harus memahami bahawa mendapat sebuah rumah batu tetapi dengan halaman dan persekitaran yang kering kontang, berdebu, kacau-bilau adalah tidak bermakna. Samalah juga jika seorang petani mengharapkan sistem pengairan dilaksanakan tetapi yang diberi adalah biji benih. Biji benih tidak akan tumbuh tanpa air! Seorang nelayan mengharapkan keluasan menangkap ikan, pembangunan yang diberi tetapi menjadikan nelayan kehilangan tempat tinggal. Semua perkara seumpama ini harus difikirkan secara mendalam oleh rakyat sebelum memangkah kertas undi semasa pilihanraya.

   Maknanya, siapa pun pemimpin itu, sepetah mana pun lidahnya berbicara, semuluk mana pun pujuk rayunya....yang penting, rakyat harus berfikir matang sebelum memilih! Jadi, rumusnya di sini, apakah dengan perkembangan terbaru dimaksudkan pembangkang semakin ampuh meraih sokongan rakyat? Kita boleh menekanya sendiri.





BENARKAH UMNO AKAN TUMBANG DI....

Benarkah UMNO akan tumbang di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia? Dan akan berlakukah lagi, tiga negeri penyumbang kemenangan UMNO di Malaysia - Pahang, Sarawak dan Sabah akan terus bertahan sebagaimana bertahannya Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Crooker?

Jika benarlah khayalan sebilangan pemimpin yang membangkang kesatuan pelbagai parti dalam Barisan Nasional untuk terus menerajui pemerintahan negara ini akan terbukti, apakah akan terjadi kepada negara yang dipimpin oleh tiga perikatan parti yang berbeza ideologinya?

Adakah benar pemimpin dari parti Keadilan akan menjadi Perdana Menteri sekiranya parti pembangkang memenangi pilihanraya umum kali ini? Ataukah parti Keadilan hanya akan menjadi kambing hitam kepada dua parti pembangkang yang besar dan kemudian dijadikan pula sebagai batu loncatan untuk satu cita-cita lama yang tersembunyi - menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Siapa pun boleh berkata bahawa 'Kita Memiliki Satu Perjuangan Yang Sama' tetapi adakah parti yang memiliki kerusi terbanyak dapat menerima dan terus akur bahawa parti yang paling lemah menjadi peneraju pemerintah? Tentu saja akan timbul persoalan 'di mana demokrasi yang sebenar?' Demokrasi sebenar adalah parti yang memiliki kerusi terbanyaklah yang menjadi peneraju. Jika tidak, pelbagai masalah akan wujud, antaranya adalah undi tidak percaya di dalam dewan atau parlimen.

Jika benar pun, dari parti terkecil pun boleh dilantik Ketua Menteri tapi ini isu Ketua Menteri bukan isu Perdana Menteri. Jika isu penggiliran Ketua Menteri pun sudah tidak 'terpakai' apatah lagi andainya berlaku kepada jawatan Perdana Menteri. Mungkin juga alasan pelbagai parti dalam Brisan Nasional dijadikan contoh terdekat kepada cara meyakinkan rakyat bahawa parti perikatan pembangkang juga boleh menjadi pemerintah yang baik. Pandangan ini, jika dilihat dari sudut luaran tentu saja jawapannya YA.

Namun, benarkah perpaduan itu akan wujud dalam parti 'pemerintah itu' kelak? Benarkah kesepakatan itu dapat menyamai kesepekatan parti dalam Barisan Nasional yang telah dipupuk sejak awal perjuangan kemerdekaan lagi? Ia masih menjadi satu tanggapan yang berbentuk bayang-bayang. Jika siang, nampak seolah-olah jelas namun bila malam akan hilang, lenyap ditelan kegelapan yang penuh tanda tanya.

Apa pun, demokrasi memberikan peluang kepada rakyat memilih siapa yang mereka kehendaki dan percaya untuk menerajui pemerintahan negara. Dalam negara demokrasi, kerajaan dipilih oleh rakyat. Malah, seorang petani sekali pun boleh berkata bahawa dialah yang memilih kerajaan. Namun, paling penting - bertuahkah kita selepas memilih satu parti pemerintah yang baru atau akan menangiskah kita untuk satu tempoh paling kurang 60 bulan berikutnya - KITALAH PENENTUNYA.

TARIKH PILIHANRAYA UMUM!

Bilakah Pilihanraya Umum akan diadakan?

Bulan Disember tahun ini? 
Tentunya tidak kerana rakyat belum lagi menerima imbuhan kenaikan gaji yang baru saja dibentangkan. Jika diadakan juga pilihanraya pada bulan Disember, mungkin kerajaan sekarang sudah benar-benar goyah dan optimis pada jangkaan akan tumbang. Setidak-tidaknya, jika parti pembangkang memerintah, kerajaan campuran ini mungkin akan sukar untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan sekarang. Selepas itu, pemimpin pemerintah sekarang bolehlah berkata kepada kakitangan kerajaan begini; "Itulah kamu, pilih pembangkang. Sekarang, jangan salahkan kami jika gaji itu tidak diperolehi sebab kami bukan lagi pemerintah!"

Bulan Januari 2012?
Pastinya tidak kerana ketika itu, proses gaji baru, baru saja hendak dimulakan. Jika proses gaji baru itu diselesaikan cepat, iaitu selesai pada bulan Januari juga bermakna kerajaan kini sudah bersedia dari semua sudut untuk menghadapi pilihanraya dan optimis pula pada jangkaan akan menang. Bagaimanapun, adalah dijangkakan bahawa  proses itu akan memakan masa sebulan dua atau tiga bulan juga.
Alasannya, bukan senang bagi setiap kerani gaji setiap jabatan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan perubahan gaji dan imbuhan yang akan diterima oleh setiap kakitangannya.

Bulan Febuari 2012?
Adalah mustahil kerana pada bulan ini, masyarakat Cina hendak mennyambut Tahun Baru Cina. Sebuah negara yang amat prihatin kepada kepentingan kaum, pilihanraya tidak akan diadakan pada bulan ini.

Bulan Mac 2012?
Petandanya yang boleh dijadikan alasan sebelum mengiakan bulan ini adalah bulan pilihanraya umum ialah adakah gaji baru sudah diterima pada penghujung bulan Febuari. Jika belum, pilihanraya akan diadakan pada awal bulan April. Namun, pengisytiharan mengenainya dijangka selepas sahaja rakyat/kakitangan menerima gaji bulan Mac.
Alasannya, akan memudahkan rakyat bergerak ke pusat-pusat mengundi.  Dan tentu sahaja, selepas itu rakyat akan berasa betapa 'bagusnya' kerajaan yang ada sekarang berbanding parti pembangkang yang berimpian untuk menjadi pemerintah baru kepada Malaysia.

Bagaimanapun, alasan untuk pilihanraya lebih awal terletak di tangan parti pemerintah sekarang. Mahu tunggu hingga tarikh akhir memerintah benar-benar hendak diikuti atau diawalkan, terpulang kepada pemimpin yang ada. Jika awal tentu bersebab dan jika dilewatkan juga pasti bersebab. Sebab-sebab itu tentunya juga rasional dan saya yakin ia rasional. Namun, berdasarkan perkiraan, pilihanraya umum akan diadakan pada akhir bulan Mac hingga awal bulan April.

Apa pun, sebagai rakyat, saya menunggu saat 'bermakna' itu untuk menunaikan kewajipan saya sebagai pengundi. Pada saya, barang antik dan apatah lagi jika sudah ada yang menjadi artifak, nilainya sungguh tinggi dan harus terus dipelihara. Dan kitalah yang seharusnya memeliharanya!

BILA PENGHARGAAN MENJADI NILAI, JUMLAH BUKAN LAGI UKURAN!

BAGAIMANA ANAK-ANAK INI BOLEH MENCAPAI KECEMERLANGAN?

DARI MANAKAH DATANGNYA ‘TENAGA’ YANG MEMBOLEHKAN MEREKA BERJAYA?

Siti Aisyah Mawardi , 12, pelajar Sekolah Kebangsaan Sekolah Sentul 1 Kuala Lumpur, berjaya memperoleh 5A UPSR. Seorang pelajar perempuan yang tinggal bersama nenek selepas ibu bapanya becerai tidak dapat menahan rasa terharunya sehingga meinitiskan air mata sebaik keputusan diumumkan. Sebelum ini, dia nekad mahu buktikan salaupun ditempatkan di kelas tercorot, dia juga mampu memperoleh keputusan cemerlang.

     Dari manakah datangnya ‘tenaga’ yang membolehkan dia berjaya? Mendapat kasih sayang kedua ibu bapa sudah tentu tidak seperti rakan-rakan yang lain. Tidak juga berpeluang untuk menikmati kehidupan yang serba cukup untuk membolehkan dia menghadiri tuisyen dan membeli buku-buku tambahan serta alat teknologi yang boleh membantunya berjaya. Namun mengapa dia boleh berjaya?

   Keputusan yang kurang memberangsangkan sebelum itu dijadikan perangsang memperbanyakkan ulangkaji khusus bagi mata pelajaran yang lemah. Di samping pelajar ini sentiasa bersyukur kerana selalu dibantu guru sekolah dan neneknya yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan.

   Seorang pelajar sekolah Kebangsaan Sacred Heart, Bandar Hilir, Melaka yang mengidap sakit sendi cemerlang UPSR dengan memperoleh 5A. Syakirah Karim, 12, mengidap psedudo drop lasia, sukar melakukan kerja seharian terutama aktiviti yang membabitkan penggunaan tangan kerana keadaan jari yang lemah.

  Pelajar yang bercita-cita menjadi seorang guru ini berasa bersyukur dengan keputusan yang diperolehnya serta bagi membalas jasa keluarga terutama ibu yang banyak membantunya. Selain dari itu, kebaikan hati rakan-rakan yang meminjamkan buku nota kepadanya adalah antara sumber yang membolehkan dia berjaya maklum sahajalah dia tidak mampu menulis laju ketika menyalin nota di sekolah.

   Seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Bukit Beruntung, Noor Azam Mohamad Noor pemain catur terkemuka negara adalah antara pelajar yang merih kejayaan 5A dalam UPSR. Mempunyai sikap tidak mudah mengalah dalam acara catur serta sentiasa tenang dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran adalah rahsia kejayaannya.

   Pasangan kembar Nur Hamisah dan Nur Hamizah Wahab dari Sekolah Kebangsaan Padang Sanai, Kuala Nerang menangis berpelukan selepas menerima keputusan UPSR daripada Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah. Anak kepada penoreh getah, Wahab Latif, 43 dan Nor Saripah Taib, 33 ini masing-masing mendapat 5A dan 4A 1B.

   Bagi mereka, kemiskinan keluarga bukan alasan untuk tidak belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan. Mereka sentiasa memberi perhatian apabila guru mengajar dan sering membuat ulangkaji di rumah selain membaca buku. Mereka belajar bersama di rumah dan membahagikan masa belajar dan bermain dengan teratur. Mereka akan belajar bermula jam 5 hingga 6 petang kemudian pada sebelah malam bermula pada jam 9 hingga 11 malam setiap hari.

   Ibu mereka pula menamatkah perkhidmatan langganan televisyen berbayar kerana mahu anak mereka menumpuhkan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Selain itu, mereka juga tidak lupa sering melakukan solat hajat di rumah bagi memohon petunjuk dari Ilahi; Dan akhirkan segala usaha yang dibuat membuahkan kejayaan yang diharapkan.

   Sesungguhnya, untuk meraih kejayaan yang diharapkan bukanlah suatu yang mudah. Bagi seorang insan, mendapat kerehdaan Tuhan adalah keutamaan. Keredhaan Ilahi itu akan diperolehi dengan adanya keredhaan ibu bapa yang sentiasa mengasihi dan menyayangi anak-anaknya. Rasa syukur yang sentiasa hidup di sanubari pelajar akan menguatkan lagi semangat pelajar untuk berjaya dan mendapat kecemerlangan. Tidak dinafikan juga bahawa situasi di dalam rumah memainkan peranan penting dalam menyediakan ‘ruang’ belajar yang efisyen. Kasih kepada ibu bapa dan keluarga, hubungan baik sesama pelajar serta bimbingan guru yang berterusan melalui program berkesan sekolah menjadi pelengkap kepada kejayaan dan kecemerlangan seseorang pelajar.

USIA PERSARAAN 58 ATAU 60?

Baru-baru ini, belanjawan negara memberi peluang kepada penjawat awam untuk berkhidmat sehingga ke usia 60 tahun. Mungkin ada rasionalnya. Pertama, pada usia itu, penjawat awam yang masih sihat masih dapat melakukan kerja-kerja sebagai pendidik dan seandainya dia sebagai ketua pentadbir, usia itu masih releven - belum nyanyuk lagi.

Namun kebanyakan kakitangan awam masih berasa selesa dengan usia persaraan 58 tahun. Alasan yang diberikan - sekurang-kurangnya mereka masih ada beberapa tahun rehat dalam keadaan 'sihat dan kuat'.
Kata mereka, itu masa untuk mereka 'keluar dari dunia pekerjaan' dan 'keluar untuk menikmati ketenangan selepas bekerja bertahun-tahun'.

Bagi mereka yang masih bekerja - masih tertanya-tanya adakah 'pakej' belanjawan baru-baru ini memestikan mereka menyambung tempoh perkhidmatan ke usia 60 tahun atau masih boleh kekal 58 tahun/56 tahun. Jika boleh, mereka ingin terus kekal bersara selepas usia menjangkau 58 tahun. Tidak mahu lagi masuk ke pejabat atau bilik darjah dalam keadaan 'terketar-ketar' kerana sudah tua. Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang memperkatakan hal ini masih belum tahu adakah wajib memilih usia persaraan 60 tahun atau boleh kekal pada usia menjangkau 58/56 tahun.

Mereka masih gusar...akan dapatkah 'keistimewaan' yang baru dinyatakan mengikut opsyen itu atau jika tidak memilih tempoh akhir usia persaraan itu mereka tidak akan dapat 'nikmat imbuhan' yang diberikan. Hal ini memang menimbulkan pelbagai reaksi sehingga kini.

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan di atas persoalan ini dengan cerita-cerita menarik. Antaranya cerita jenaka ini:
A: Bila ketua pentadbir memilih usia 60 tahun persaraan, dia akan sentiasa menjaga kesihatannya. Oleh itu, kita akan dapati nanti mereka sentiasa kemas dan nampak muda.
B: Apa masalahnya?
A: Mereka ini akan sentiasa sihat dan 'lambat mati'...[dia ketawa kuat]
B: [ikut ketawa kemudian meminta].. Kasi proove!...kasi proove!
A: Dan timbalannya pula akan sering sakit...[dia ketawa lebih kuat..]
B: I don't understand. Kenapa boleh jadi begitu?
A: Ketua pentadbir tu mahu menikmati sepenuhnya gaji tinggi selepas itu..sebab itu dia sentiasa jaga kesihatan. Si B, kerana lamanya dia menunggu untuk menjadi ketua..menggantikan ketuanya..dia selalu berfikir - bilalah orang tua ni mati...[dia ketawa sehingga tertutup mata]...fikiran dia tertekan..hahahahaha!
B: [diam seketika dan kemudian ketawa]...lucu...lucu..hahahahahaha

Pesan penulis : Apa pun, jangan menjadi orang B dalam organisasi!

DIA KEHILANGAN KEPERCAYAAN ORANG LAIN

Bukan senang mahu dapat kepercayaan orang lain. Kadangkala, walau seribu kebaikan yang sudah dibuat, sekali perbuatan menganiayai kepercayaan orang itu, kita akan kehilangan seluruh kepercayaannya. Bak kata pepatah Melayu 'Kerana nila setitik rosak susu sebelanga'

Demikianlah terjadi kepada 'orang itu'. Sekali dia mendapat peluang dan kepercayaan orang lain, dia terus jadi alpa. Bertindaklah dia mengikut hatinya sehingga rakan-rakannya berjauh hati. Dalam masa yang sama, dia berusaha lagi untuk menjatuhkan rakan-rakan seperjuangannya. Bagi 'dia' rakan-rakannya itu sudah tidak berguna lagi. Dia cuba untuk menjadikan amanah menjadi hak milik peribadinya.

Tidak kurang juga yang tertipu kerana kemanisan mulutnya apabila berbicara. Dan dialah pada perasaannya yang terbaik dari yang terbaik. Sehingga lupa dia tentang siapa dia. Tak ubah seperti ayam berkokok tapi ekor bergelumang tahi. Akhirnya, keburukan diri terserlah juga. Dan sejak itu menghilangkan diri daripada pandangan semua rakan-rakan. Menghilangkan diri entah ke mana...namun pastinya dia masih juga berpijak di bumi nyata.

Dia menghilangkan diri bersama kepercayaan orang lain yang telah hilang!! Sadis! Menjadi pelarian yang belum berpenghujung di mana hentinya.

Beginilah kesudahannya kepada diri yang lupa diri dan pentingkan diri sendiri.

TSUNAMI SEBELUM TIBA DI PANTAI JEPUN

MACAMANA RAKYAT JEPUN TIDAK SENGSARA
TSUNAMI SEBEGINI YANG DATANG MENERPA
DARI ANGKASA SAJA BOLEH LIHAT BESARNYA GELOMBANG

 

BELANJAWAN BANYAK MEMIHAK KEPADA GURU?

     Belanjawan Negara yang baru dibentangkan...sememangnya banyak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Golongan guru antara kumpulan yang berasa gembira dengan 'berita' yang disampaikan. Alhamdulillah, syukur kehadrat-Nya. Khabar baik ini adalah atas ketentuan-Nya jua.

Berita gembira itu sudah tentu akan memberi nafas kepada sebilangan guru yang banyak membuat pinjaman peribadi di bank-bank di negara ini. Tidak kurang pula yang selepas ini mungkin akan mula berfikir untuk melihat 'sifir' pengiraan bayaran bulanan bagi loan baru yang telah dirancang namun ditangguh sementara waktu sebelum ini.

Adakah selepas menerima 'durian runtuh' itu nanti keperluan persekolahan anak-anak akan dapat dilengkapkan atau 'keuntungan tiba-tiba' itu akan hanya dihabiskan di meja-meja pusat hiburan, di mesin judi atau untuk menggantikan ekzos kereta yang belum rosak. Apa pun, apabila ianya sudah diperolehi, pemberian itu sudah menjadi hak milik si penerima. Apa pun, itu hak si penerima!

Si pengumpul wang keuntungan - pengusaha funfair, ketika ini sudah mula tersenyum lebar. Untung besar....untung besar..! Mereka tahu, di kebanyakan di daerah negeri ini, rakyatnya masih belum biasa melihat funfair. Asal funfair di buka mereka pasti datang. Bawa anak-anak kecil, bawa isteri bawa suami. Yang bujang datang berkumpulan atau berpasangan. Tujuan mereka, ke funfair untuk berhibur. menghiburkan anak-anak. Berpeleseran atau menjadikan lokasi tempat memadu asmara. Apa pun, itu hak mereka! Soal pengusaha funfair telah mengambil 'keuntungan' itu dari tangan mereka bukan masalah. Lagi pun telah ditukarkan juga dengan hiburan yang menyeronokkan beberapa minit atau jam berada di lokasi itu.

Mungkinkah akan bertambah juga bilangan 'orang-orang susah' di tepi-tepi jalan dan yang berjalan dari meja ke meja di dalam restoran bermula ketika bonus awal mula diterima disember tahun ini? Mungkin juga kes ragut, rompak dan pukau akan aktif semula di setiap pekan dan bandar di penghujung tahun ini dan di awal tahun 2012! Apa pun...bagi kita, rakyat Malaysia...janganlah berlunjur sebelum duduk apabila mendapat tahu akan menerima durian runtuh. Mana tahun, BN akan ditumbangkan! Bagaimanapun, bersedekah kepada orang miskin adalah amalan yang mulia.

Sebagai seorang guru, saya semestinya berasa gembira. Tidak seperti pekerja awam yang lain, guru kerap berbelanja lebih menggunakan wang sendiri untuk keperluan anak-anak didiknya dan ketika melaksana tugas-tugasnya sebagai guru mata pelajaran, sebagai jurulatih sukan, sebagai pengurus pasukan sekolah dan lain-lain. Seseorang guru - kerana inginkan kejayaan anak didiknya, ingin menjadikan bilik darjahnya ceria, ingin muridnya bermain tangkas dan sebagainya 'selalu' mengeluarkan pendapatan bulanannya untuk tujuan itu. Wang sendiri.  Sukurlah dengan berita gembira yang baru dibentangkan!

Apa pun, itu belanjawan negara bagi tahun 2012 seandainya Malaysia masih lagi diperintahi oleh Barisan Nasional. Sekiranya Pembangkang berjaya menumbangkan kerajaan yang memerintah sekarang...'durian' yang ditunggu itu mungkin tidak akan gugur atau jika gugur pun, mungkin buah yang sudah busuk, rosak dan tidak berisi. Sekarang, terpulanglah kepada kita, rakyat Malaysia untuk berusaha mendapatkannya atau menolak saja buah durian itu mentah-mentah. Namun sebagai guru, saya sudah tentu mengharapkan 'durian' itu diberikan kepada saya secara percuma dan isinya isi yang masak dengan sempurna.

Apapun, itu adalah berita. Berita awal. Berita begini boleh saja kita samakan dengan 'ramalan cuaca'  yang biasanya ada kebenaran dan berlaku dengan tepat. Kita mengharapkan berita itu bukan 'berita angin.'

BILA TIBA HARI RAYA....

Bila tiba hari raya, hatiku menjadi semakin sayu. Entah puasaku telah sebaik yang aku harapkan dan entah akan adakah lagi usia untuk Ramadhan di tahun hadapan. Pusara kedua orang tua juga tidak dapat dikunjungi kerana tinggal jauh dari kampung halaman. Rindu kepada kemeriahan berhari raya di kampung bersama adik-beradik yang mengharap kepulanganku bertambah terasa bila terdengar alunan takbir.

Beginilah apabila berkeluarga. Adakalanya terpaksa juga mengalah kepada keinginan anak-anak yang tak mahu balik ke kampung halaman ayah mereka. Maklumlah juga, di kampung halaman mereka cuma ada keluarga adik beradikku. Di sini mereka ada sahabat sepersekolahan dan jiran sekampung.

Tahun ini, sekali lagi adik-beradikku datang menziarah beramai-ramai namun tidak semuanya dapat datang bersama. Namun sekembalinya mereka ke kampung halaman nun jauh di utara, aku kembali berasa kesunyian. Hendak mengubat rasa sunyi dengan bertandang ke rumah ipar/biras...juga sepi dan kurang meriah. Aku menghabiskan masaku di rumah dan melayan tetamu yang datang.

Didakap sayu dan sunyi menyedarkanku betapa manisnya hubungan yang erat di antara adik-beradik. Alangkah bahagianya sebuah keluarga besar yang dapat mengekalkan hubungan baik di antara ahlinya. Semoga hubungan sebegini dapat diwariskan kepada anak-anak dan cucu cicit.

Dapat juga kubayangkan betapa pilu dan peritnya perasaan insan yang terpaksa berpisah dengan keluarga dan orang tersayang khususnya pada ketika tibanya Hari Raya.

Bila tiba hari raya...hatiku pasti sempat meminta kepada-Nya, suatu kehidupan yang tenang dan bahagia meski acap kali aku berasa rindukannya.

KEPADA GURU : KALAU TIDAK MAHU DILAMBUNG OMBAK, JANGANLAH MEMBUAT RUMAH DI TEPI PANTAI.

Sejak akhir-akhir ini, kita terbaca berbagai bentuk rungutan daripada pihak guru. Bentuk kerja dan bebanan kerja menjadi isu utama. Keadaan sudah terbalik! Kalau dulu, guru yang merungut adalah guru-guru di pedalaman. Kehidupan yang susah dan serba-serbi kekurangan diwar-warkan minta simpati daripada kementerian pelajaran atau pun Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing. Persoalannya sekarang ialah, mengapa rungutan guru yang kita baca banyak datang daripada guru bukan di pedalaman lagi? Mungkinkah guru di pedalaman sudah tertutup mulut oleh elaun khas yang diterima menjadikan mereka tidak lagi berminat untuk merungut atau adakah guru bukan bertugas di pedalaman sememangnya terlalu dibebani kerja?

Apa yang menyedihkan, kebanyakan rungutan guru yang kerap kita baca adalah kerana tugasan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan perlu pula dilaksanakan secara online. Mungkin ada asasnya guru-guru ini merungut kerana server sering 'tersangkut' atau 'tiba-tiba saja mati' ketika kerja berada di pertengahan atau di penghujung; Dan akibatnya, guru terpaksa melakukannya semula dari awal.

Bagaimanapun, sekiranya guru merungut atas sebab (yang dikatakan) terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian yang banyak sedangkan mereka juga dibebani oleh tanggungjawab mendidik pelajar yang tak ada penghujungnya - mungkin ia suatu tindakan yang tidak praktikal. Guru seharusnya juga mengetahui setiap jenis kerja yang dikategorikan sebagai kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran selain daripada kerja mengajar dan semua jenis kerja yang melibatkan pelajar.

Rasionalnya ialah pada suatu ketika, apabila rezeki sudah sampai, guru tersebut juga akan memikul tugas sebagai pentadbir sesebuah sekolah. Jadi, semua jenis kerja itu adalah di bawah pantauannya. Pada ketika itu, tindakan untuk 'baru mempelajari kesemua kerja-kerja perkeranian' bolehlah dianggap kurang bijak kerana hal itu sudah tentu akan melambatkan atau mencacatkan proses pengurusan dan pentadbiran sekolah tersebut.

Sebagai seorang guru biasa, mempelajari semua perkara yang sememangnya wujud di sekolah adalah lebih baik daripada terus merungut. Tambahan lagi, suatu ketika guru juga inginkan kenaikan pangkat. Tanpa pengetahuan tersebut, sukarlah Guru Besar atau Pengetua mencalonkannya untuk memegang tanggungjawab sebagai Penolong Kanan atau pun dilantik pula sebagai Guru Besar atau Pengetua di sekolah. Andai rezeki tidak menyebelahi, apalah salahnya kita mempelajarinya dengan tujuan menambah ilmu pengetahuan.

Merungut tidak akan memberikan apa-apa faedah melainkan hanya akan mewujudkan hubungan yang tegang di antara guru biasa dengan pentadbir sekolah. Dalam masa yang sama, sudah pasti dalam hati guru akan ada tanda-tanda kurang memberikan kerjasama terhadap organisasi di sekolah. Jika ini berlaku, adalah sukar untuk organisasi tersebut mencapai misi dan visinya.

Sebagai seorang guru, saya mencadangkan agar guru-guru yang kerap merungut ini selalulah bersabar terhadap masalah yang dihadapi. Jadikanlah kerja-kerja yang diamanahkan sebagai amalan dan ibadah. Insya-Allah, dengan cara ini setiap masalah itu akan berubah menjadi 'perangsang' kepada guru berkenaan untuk terus bekerja dengan lebih bermotivasi.

KALAU TIDAK MAHU DILAMBUNG OMBAK, JANGANLAH MEMBUAT RUMAH DI TEPI PANTAI. Kita harus menyedari bahawa tugas guru akan terus mencabar dari tahun ke tahun sesuai dengan kehendak semasa. Tunjukkanlah tahap profesional kita sebagai kakitangan yang tergolong dalam KUMPULAN PROFESIONAL.

Sekian. Selamat bertugas sebagai guru dan Selamat Berpuasa (kepada yang berpuasa).